Kos punca majikan enggan tempatkan pekerja asing di hotel

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri dilaporkan berkata, 79 hotel sudah mendaftar untuk menyertai program penginapan sementara untuk menempatkan pekerja asing di hotel. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Majikan enggan menyertai program penginapan sementara untuk menempatkan pekerja asing di hotel selaras Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Ini didedahkan kumpulan majikan terbesar dalam negara, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM).

Mereka berkata, program itu akan memberikan beban kewangan besar ke atas majikan yang sedang mengalami masalah aliran tunai akibat Covid-19.

Di bawah program kerajaan itu, pekerja asing akan ditempatkan sementara di hotel bagi mengekang penularan Covid-19, khasnya dengan sejumlah besar kluster tempat kerja seperti yang dilaporkan.



Kos penginapan di hotel dan kuarters buruh berpusat yang diperakui Jabatan Tenaga Kerja akan ditanggung majikan, begitu juga semua kos pengangkutan berkaitan.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, program itu akan menyebabkan perniagaan perlu membelanjakan RM270 untuk setiap pekerja sebulan. Bayaran sewa ialah RM200, utiliti (RM20) dan pengangkutan (RM50).

Soh Thian Lai.

Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata, pilihan penginapan sementara itu perlu dilakukan secara sukarela, bukannya wajib ke atas industri.

Katanya, kos perumahan bagi setiap pekerja, termasuk kos utiliti dan pengangkutan, perlu ditentukan majikan, bukannya kementerian.



Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, program itu juga akan menyukarkan majikan menguruskan pekerja mereka.

“Bukan mudah membawa pekerja asing dari hotel ke tempat kerja. Pembaziran masa boleh dijangka berlaku kerana perlu berulang-alik,” katanya kepada FMT.

Shamsuddin Bardan.

Beliau berkata, tidak keperluan untuk menempatkan pekerja asing di hotel.

“Lebih baik untuk kerajaan mempercepatkan proses kelulusan menukar bangunan kosong sebagai perumahan pekerja. Ini pilihan yang lebih berdaya maju.”



Selain membantu majikan mematuhi syarat minimum di bawah undang-undang buruh, program berkenaan juga secara tidak langsung membantu pengusaha hotel yang teruk terjejas akibat Covid-19.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, 79 hotel sudah mendaftar untuk menyertai program penginapan itu.

“Walaupun 79 hotel telah mendaftar untuk program itu, tiada kemas kini daripada Jabatan Tenaga Kerja mengenai penyertaan majikan,” katanya.

Dalam pada itu, Soh berkata, majikan tidak dimaklumkan mengenai butiran hotel yang menyertai program itu, termasuk lokasinya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker