Dua drama 19 juta penonton

KUALA LUMPUR: Slogan ‘duduk di rumah’ sebagai usaha memutuskan rantaian COVID-19 memberi impak positif apabila dua drama terbitan TV3 yang disiarkan melalui slot Samarinda dan Lestary, merekodkan lebih 19 juta penonton.

Drama mencetuskan fenomena, Takdir Yang Tertulis yang melabuhkan tirai minggu lalu, meraih lima juta penonton ketika episod akhir ditayangkan.

Secara keseluruhan, drama 15 episod arahan Shahrulezad Mohameddin ini merekodkan sembilan juta penonton sepanjang tempoh siaran dalam slot Samarinda.

Episod akhir drama Melastik Ke Hatimu yang disiarkan slot Lestary, mencatatkan lima juta penonton.

Sepanjang siaran merangkumi 13 episod, drama ini merekodkan 10 juta penonton. Semua data ini disahkan Nielsen Malaysia.

Kenyataan TV3 menyebut, dua drama ini, Takdir Yang Tertulis terbitan (Radius One Sdn Bhd) dan Melastik Ke Hatimu (Orangetree Sdn Bhd) yang mula disiarkan pada 21 Januari lalu, mendapat sambutan memberangsangkan penonton.

Malah, peminat berharap kedua-dua drama ini disambung berikutan penonton ingin tahu apa perkembangan selanjutnya dalam setiap watak.

Pengarah Kumpulan Jenama, Kandungan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Sherina Nordin, berkata kejayaan drama Takdir Yang Tertulis dan Melastik Ke Hatimu membuktikan industri drama tempatan tidak ketandusan idea dalam menghasilkan karya diminati penonton.

“Penghasilan drama yang baik cukup mencabar sebenarnya, apatah lagi untuk menghasilkan drama yang digemari penonton sehingga tular dalam media sosial untuk setiap episod.

“Pujian ini wajib saya tujukan kepada seluruh tenaga produksi dan pelakon yang menjayakan dua drama ini.

“Daripada segi pengarahan yang bijak mengolah watak dan penceritaan, penulisan yang baik dalam menghasilkan plot menarik dan keberkesanan pelakon menzahirkan watak yang dibawa.

“Kejayaan dua drama ini membuktikan industri drama tempatan tidak ketandusan air dalam memenuhi cita rasa penonton,” katanya.

Sherina berkata, TV3 sentiasa bersemangat untuk bekerjasama dengan syarikat produksi hebat menghasilkan drama yang ‘dekat’ dengan kehidupan harian penonton.

Selepas Takdir Yang Tertulis dan Melastik Ke Hatimu melabuhkan tirai, dua drama lain mengisi slot Samarinda dan Lestary. Drama yang pernah menambat hati penonton di slot Lestary iaitu Semua Salahku terbitan A Aida Production, kembali menemui penonton mulai 12 Februari lalu.

Drama arahan Along Kamaludin ini dibintangi Fasha Sandha, Nafiz Muaz dan Intan Najuwa. Slot Samarinda pula menyiarkan drama arahan Shuhaimi Luar. Aku Yang Kau Gelar Isteri terbitan Tanah Beris Film Productuon, sejak 17 Februari lalu.

Drama ini menampilkan lakonan hebat watak utama, Datuk Adi Putra dan Nadia Brian. Slot Lestary menemui penonton setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam.

Slot Samarinda disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. Maklumat lanjut drama ini boleh didapati di xtra.com.my dan laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia serta Drama Sangat.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker