Syabu RM4.28 juta ditinggalkan di tapak rumah lama

Gambar Hiasan

PASIR MAS: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas enam bungkusan plastik hitam mengandungi ketulan syabu seberat 107 kilogram (kg) membabitkan nilai RM4.28 juta.

Rampasan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota yang membuat risikan serta pemerhatian di kawasan tapak rumah lama yang terbakar sejak empat tahun lalu di Kampung Lubok Gobg, Rantai Panjang jam 4 pagi semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar, berkata pihaknya membuat pemerhatian di lokasi berkenaan selama 10 jam.

“Hasil pemerhatian, pihaknya mendapati tiada sebarang pergerakan yang mencurigakan sebelum menemui enam bungkusan plastik hitam yang diletak di bawah tangga bersimen tapak kediaman berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, di dalamnya terdapat bungkusan guni putih dan di dalamnya pula mengandungi bungkusan plastik lutsinar bertulis 888 yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.

“Pasukan kita merampas barangan berkenaan dan pemeriksaan lanjut mendapati berat keseluruhan syabu adalah 107 kg dengan nilai keseluruhan RM4.28 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata, bekalan dadah berkenaan dibawa masuk melalui Sungai Golok.

“Tapak kediaman berkenaan hanya dijadikan transit sebelum diedar ke pasaran tempatan dan luar. Selain rumah terbiar, kebanyakan sindiket juga menggunakan gudang kosong untuk menempatkan barangan terlarang itu.

“Kita percaya bekalan terbabit dibawa masuk dengan cara memunggah sedikit demi sedikit memandangkan cuaca panas dan paras air Sungai Golok yang semakin cetek,” katanya.

Katanya, bekalan dadah terbabit diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan susulan dan menyifatkan rampasan semalam adalah yang terbesar untuk tahun ini

Dalam kes berasingan, Hasan Basri berkata, pada jam 4.30 petang semalam, pihaknya membuat serbuan di sebuah bangsal di Kampung Kubang Puyu, Pasir Mas sebelum menahan dua lelaki.

Katanya, pemeriksaan badan terhadap suspek menemui satu anak kunci kereta sebelum menemui 171 biji pil yaba di kawasan bangsal berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Toyota Estimamendapati tiada rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan disyaki kereta klon.

“Pil yaba berkenaan bernilai RM61,710 dan saringan ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” katanya.

Leave a Reply