Wanita UMNO minta rakyat beri kerjasama

Rakyat perlu yakin dengan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech kerana bukan sahaja untuk melindungi diri tetapi juga orang yang disayangi.

Justeru, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meminta rakyat memberi kerjasama kepada kerajaan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula Rabu (esok).

Katanya, kerajaan sudah mempertimbangkan semua aspek sebelum mendapatkan vaksin berkenaan.

“Ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Malaysia memberikan sinar baharu dalam perjuangan negara menentang dan melandaikan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbekalan vaksin tersebut merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.05 bilion (jumlah awal) bagi mendapatkan vaksin Covid-19 dan akan diberi secara percuma kepada rakyat menerusi tiga fasa.

Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi turut mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang sentiasa berdedikasi menjaga kesihatan rakyat Malaysia dalam tempoh menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Pada Ahad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula 26 Februari ini akan diawalkan pada 24 Februari.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi individu awal menerima vaksin Pfizer-BioNTech itu.-SH

Leave a Reply