Op Benteng: 10 guni syabu bernilai RM16.08 juta dijumpai di Rantau Panjang

KOTA BHARU: Sejumlah 10 guni berisi syabu dengan berat 402 kilogram ditemui di tebing Sungai Golok di Lubok Stol, Rantau Panjang pada pagi Isnin.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hassan berkata syabu yang dianggarkan bernilai RM16.08 juta itu ditemui sepasukan anggota Tentera Batalion Ke-empat, Rejimen Sempadan dalam rondaan Op Benteng sekitar jam 10 pagi.

Syabu berkenaan dibungkus dalam beg berlabel jenama teh cina.

“Anggota ronda menjumpai sebanyak 10 guni hitam berlabel teh jenama Guang Ying Wang yang ditinggalkan dua individu mencurigakan di tebing Sungai Golok,” kata Zamsari.

Beliau menjelaskan syabu berkenaan ditinggalkan oleh dua individu yang menaiki bot menyeberang dari tebing Sungai Golok, sebelah Thailand.

Suspek berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan kejayaan Rejimen Sempadan melakukan penugasan Ops Benteng, di sini, pada Isnin malam.

“Rampasan ini memberi impak yang begitu signifikan kepada keseluruhan kejayaan Operasi Benteng yang dihasratkan oleh Menteri Kanan Pertahanan.

“Ia juga sesuai dengan hasrat Panglima Angkatan Tentera supaya Operasi Benteng ini bertujuan mencegah sebarang anasir jenayah rentas sempadan serta bolos di perbatasan,” kata Zamsari.

Tambahnya, syabu itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk pasaran luar Kelantan termasuk Johor dan Kuala Lumpur.

Pihak tentera yang bertugas dalam Ops Benteng mempertingkatkan kawalan sempadan terutama di laluan tikus bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan susulan penutupan pintu sempadan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.-Awani

 

Leave a Reply