Penerima terawal vaksin Covid-19, Hadi sedia disuntik bersama Muhyiddin



Sebaran :

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian kumpulan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi wabak tersebut.

“Saya telah mendapat taklimat berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, khususnya tentang kepentingannya terhadap usaha-usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat, supaya mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.



“Justeru saya ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 bersama-sama perdana menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 22 Dis lalu, Muhyiddin berkata dia akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.

Muhyiddin berkata ia akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.



Dia juga berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera.

Kerajaan menyasarkan 70 peratus rakyat akan menerima vaksin pada suku pertama 2021 – dengan tumpuan kepada golongan dewasa – untuk mencapai imuniti kelompok.

Dalam pada itu, Hadi menyeru semua pihak untuk bersama-sama memerangi wabak Covid-19 tanpa memikirkan soal perbezaan politik.



“Pada masa sama, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dan menggembleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Fokus utama kita sekarang adalah memastikan keselamatan rakyat terjamin dan ekonomi negara kembali pulih,” katanya lagi.


Sebaran :


Leave a Reply