SPRM tahan 7 kakitangan JPJ Johor dipercayai manipulasi cukai jalan RM3.1 juta

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor hari ini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan.

Sumber SPRM berkata, mereka terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan antara 11 pagi hingga 1 tengah hari.

“Semua kakitangan yang ditahan bertugas di JPJ Johor, mereka dipercayai memanipulasi sistem mySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM.

“Ia membabitkan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi proses reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan kes itu bermula hasil maklumat dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini telah dibincangkan dengan ketua pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah,” katanya.

Beliau turut meminta pihak atau agensi untuk memberi maklumat kepada SPRM seperti dilakukan pihak ketua pengarah JPJ itu.

Pada masa sama, Azam menyeru orang ramai berurusan di kaunter jabatan untuk mengambil peduli dan sentiasa memeriksa resit selepas melakukan urusan di kaunter atau dengan ejen yang dilantik.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker