Azira Shafinaz terima anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020

Sebaran :

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon, dan pengacara, Azira Shafinaz, 30, terharu mendapat pengiktirafan anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020 dalam kategori seni dan budaya, baru-baru ini.

Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan mengakui anugerah itu yang pertama diterimanya dan tidak sangka pembabitan dalam bidang hiburan selama lebih lima tahun akhirnya dihargai.

“Anugerah ini sangat bermakna buat saya secara peribadi. Ia membuktikan kerja-keras saya dalam bidang seni selama ini tidak sia-sia walaupun saya masih baru.

“Selama ini, saya cuma pernah dicalonkan dalam anugerah hiburan dan tak pernah menang lagi. Jadi, tentunya saya amat bersyukur memandangkan pengiktirafan ini diberikan kepada bukan calang-calang nama. Tak sangka penganjur melihat pencapaian saya pada tahap itu juga,” katanya.



Antara selebriti yang pernah menerima anugerah ini ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Awal Ashaari, Elfira Loy, Nelydia Senronse dan Diana Danielle.

Anugerah The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2020 yang diadakan sejak 2016 dianjurkan Entrpreneur Insight.

Ia adalah pengiktirafan buat usahawan yang cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk hiburan.

Selain Azira, turut diiktiraf dalam kategori sama pada acara itu adalah pelakon Nad Zainal.



Disebabkan situasi pandemik Covid-19, penyampaian anugerah terbabit dilakukan secara virtual.

Dalam pada itu, Azira mengakui jadual seninya semakin sibuk apabila tawaran tidak putus-putus datang. Menurutnya, bukan saja dalam bidang lakonan, malah dia semakin laris untuk mengacarakan program TV.

Pengacara program Vokal Mania musim pertama itu juga bakal tampil dengan filem berjudul Penunggang Agama yang akan ditayangkan bulan depan.

Dalam filem arahan Syafiq Yusof itu, dia berganding dengan Zul Ariffin.




Sebaran :

Leave a Reply