JDT pandai buat duit
KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak tidak rugi apa-apa meskipun terpaksa melepaskan penyerang baharunya, Jonathan Herrera ke pasukan Liga Argentina, Independiente.
Ini kerana mereka dijangka mampu mengaut keuntungan apabila berpeluang menjual penyerang berusia 29 tahun itu kepada Independiente pada nilai AS$1.3 juta (RM5.26 juta).
Sekalipun belum ada lagi makluman rasmi mengenai perpindahan Herrera, pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Instagramnya seakan mengiyakan perkembangan itu sekalipun beliau tidak menyebut nama pemain terbabit.
Kemaskini terbaru di Instastory Tunku Ismail dipercayai merujuk kepada perpindahan pemain itu selepas skuad Harimau Selatan itu berjaya mendapat keuntungan atas rundingan terbabit.
“Dibeli dengan harga 800,000. Dipinjamkan dengan pilihan untuk menjual pada harga AS$1.3 juta (RM5.26 juta).
“Kita tidak boleh menolaknya. Kelab memerlukan lebih wang daripada trofi ketika ini. Itulah caranya. Tidak ada yang peribadi. Ini hanyalah perniagaan,” kata Tunku Ismail.
Terdahulu, belumpun sempat beraksi bersama JDT, Herrera dipikat pasukan lain apabila dipinjamkan ke Independiente.
Menerusi laporan portal infiernorojo, Herrera dipinjamkan selama semusim dengan difahamkan, pasukan itu memiliki pilihan untuk mendapatkan penyerang itu secara tetap.
“Penyerang berusia 29 tahun, Jonathan Herrera akan dipinjamkan selama setahun dari Johor, Malaysia.
“Bagaimanapun, Independiente akan membayar pinjaman itu pada tahun ini,” kata portal terbabit.
Laporan media tempatan lain pula mendakwa kos pinjaman itu adalah sekitar AS$200,000 (RM809,000) dengan mereka perlu membayar sebanyak AS$1.2 juta (RM4.86 juta) jika mahukan pemain itu secara tetap.
You must be logged in to post a comment.