Akui Sudah Ditawan & Dimiliki Seseorang – Serina Belum Sedia Kongsi

“Secara jujurnya, saya sedang mengenali hati budi seseorang. Saya akui, hati sudah ditawan dan dimiliki seseorang. Kami baru sahaja berkenalan sejak beberapa bulan lalu. Cuma, saya belum bersedia berkongsi siapa gerangan jejaka yang berjaya membuka pintu hati yang pernah terkunci ini. Saya mengharapkan doa yang baik-baik.

“Sebagai wanita dan ibu, saya juga mengimpikan memiliki mahligai rumah tangga yang bahagia seperti pasangan lain. Mungkin saya pernah melalui pengalaman perkahwinan yang hancur, tetapi Allah lebih mengetahuinya. Saya juga mahu bahagia dan rasa dicintai lelaki.

“Insya-Allah, saya akan berkongsi berita baik sekiranya apa yang diharapkan menjadi kenyataan. Cuma, buat masa ini, berilah saya ruang untuk mengenalinya terlebih dahulu,” tutur pengacara, pelakon dan usahawan, Serina Redzuawan, 39, apabila diberikan nikmat lain takkala ujian melingkari hidup dengan pelbagai fitnah yang bertebaran.

Selepas berpisah dengan bekas suami, kira-kira lima tahun lalu, hati Serina kini sedang berbunga cinta apabila menjalinkan hubungan dengan seseorang insan istimewa dan mula membuka pintu hatinya menerima cinta lelaki lain setelah sekian lama.

 

Ramai terkejut apabila Serina menukar status ‘In a relationship’ dalam Facebook (FB) sejak pertengahan Januari lalu. Namun, siapakah jejaka bertuah yang berjaya mengetuk pintu hatinya itu masih dirahsiakan.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tristan Tareef dan Isabella Saffiya, tidak salah dirinya ingin merasai nikmat dicintai dan mencintai seseorang, biarpun pernah berdepan dengan kegagalan rumah tangga. Dalam pada itu, Serina memberitahu, anak-anaknya tidak kisah dengan siapa bercinta, malah mereka menerima seadanya.

“Mereka masih kecil untuk tahu situasi yang saya lalui. Ada perkara tertentu mereka faham. Contohnya, saya dan bekas suami sudah berpisah. Saya pun sudah lama bergelar ibu tunggal, jadi sampai bila saya mahu menutup pintu hati?

“Bagaimanapun, setakat ini, Papa belum tahu lagi. Tetapi, apa sahaja dilakukan restu Papa paling utama. Hubungan kami baik-baik sahaja. Papa terlalu sibuk menguruskan restorannya. Saya ada juga membantunya termasuk melakukan promosi dalam media sosial. Papa juga menyokong perniagaan yang saya usahakan,” katanya.

Mengulas dikaitkan dengan lelaki ‘scammer’ yang ditahan, baru-baru ini, Serina berkata, pelbagai fitnah mengaitkan dirinya dengan lelaki berkenaan.

“Hidup ini memang tak lepas ujian dan pelbagai fitnah. Saya difitnah dan dikaitkan dengan lelaki ‘scammer’ berkenaan. Bagaimanapun, saya sudah membuat laporan polis.

“Saya mengenali lelaki berkenaan selepas menunjukkan minat melabur dalam perniagaan yang saya usahakan. Jujurnya, saya tidak tahu lelaki ini terbabit dengan kerja tidak betul. Apabila lelaki ini ditangkap, timbul macam-macam fitnah mengaitkan saya. Kenapa pula nak mengaitkan saya, sedangkan saya baru kenal lelaki ini.

“Saya sudah berhijrah, kenapa saya nak buat kerja gila? Sudahlah saya ibu tunggal, berniaga dan mencari rezeki, setiap hari. Saya kecewa apabila nama saya terpalit buruk hanya kerana mengenali lelaki ini. Kami hanya berurusan soal bisnes, tetapi dia belum pun sempat membuat pelaburan,” jelasnya.

Akhir kata, biarpun diuji dengan pandemik COVID-19, bisnes Serina dilihat berkembang dengan baik: “Sekarang saya fokus dengan perniagaan telekung, Serina Inspire serta bisnes makanan dan minuman, Serina Food Empire. Niat saya mahu membantu ibu tunggal dan orang buta berniaga Industri Kecil dan Sederhana yang membekalkan makanan kepada saya,” ujarnya.

Leave a Reply