Polis tak boleh sebarangan periksa telefon bimbit, kata bekas KPN

Polis tidak boleh sebarangan memeriksa telefon bimbit orang awam melainkan terdapat aduan yang dibuat membabitkan perkakas elektronik itu.

Bekas ketua polis negara Musa Hassan berkata hanya dengan tujuan siasatan berdasarkan aduan yang dibuat, barulah pihak polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit seseorang individu.

“Harus ada laporan polis yang dibuat terhadap seseorang, dan mereka menyiasat orang itu, atau polis mengesyaki seseorang terlibat dalam jenayah dan sedang menyiasatnya.

“Polis tidak boleh sesuka hati menahan “Tom, Dick atau Harry” dan meminta telefon bimbit mereka untuk diperiksa,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berkata polis mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam bagi memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan.

Katanya, perkara itu dibenarkan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Musa menambah, pihak polis masih memerlukan kebenaran daripada timbalan pendakwa raya bagi membolehkan mereka mengambil telefon bimbit seseorang untuk tujuan siasatan.

Beliau berkata kebanyakan individu menyimpan data peribadi seperti nombor akaun bank dalam telefon mereka, yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Tiada seorang pun harus mempunyai akses kepada data ini kerana ia dilindungi oleh undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Peguam Foong Cheng Leong mengakui AKM membenarkan carian tanpa waran, tetapi menjelaskan ia hanya boleh dilakukan oleh pegawai berpangkat inspektor dan ke atas.

Beliau berkata pencarian tanpa waran boleh dilakukan jika pegawai itu mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan dalam memperoleh waran geledah akan menjejaskan penyiasatan seperti bukti dirosakkan atau dimusnahkan pemiliknya.

Dalam kes sedemikian, katanya, pihak polis boleh mengambil telefon tersebut terlebih dahulu untuk diperiksa kemudian, dan keengganan memberi kerjasama boleh menyebabkan seseorang itu ditahan kerana menghalang tugas polis.

“Individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam ,” kata beliau.

Namun beliau turut menegaskan kuasa untuk merampas atau memeriksa telefon bimbit seseorang mesti bertujuan siasatan, polis tidak boleh sebarangan meminta telefon bimbit dan memeriksanya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph pula berpandangan telefon bimbit yang diambil daripada orang awam harus bertujuan siasatan yang relevan.

“Katakan anda dituduh menumbuk seseorang, maka telefon anda tidak relevan dengan kes itu.

“Sekiranya polis memanggil anda dan meminta telefon anda, anda harus meminta penjelasan kenapa mereka berbuat demikian dan anda disiasat di bawah undang-undang apa?” katanya.

Beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya pemilik berada bersama polis ketika telefon bimbitnya diambil, melainkan individu itu ditangkap dan dalam masa sama telefon bimbitnya dirampas.

“Lebih baik juga kalau dapat wajibkan perintah mahkamah untuk pemeriksaan telefon bimbit, namun ia mungkin mengambil masa yang lama.

“Oleh itu, perlu ada sebab yang kuat dalam prosedur dalaman polis untuk telefon bimbit supaya diperiksa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy menyatakan kebimbangan mengenai privasi individu kerana tidak akan ada had kepada pihak berkuasa untuk mengakses, termasuk gambar atau mesej peribadi yang mungkin tidak berkaitan dengan siasatan polis.

Sehubungan itu, beliau meminta peruntukan undang-undang itu disemak semula.

“Keengganan untuk mendedahkan kandungan telefon harus dianggap sebagai hak untuk berdiam diri ketika disoal siasat oleh pihak berkuasa,” katanya.

FMT

Related Articles

One Comment

  1. Yang sepatutnya memeriksa telefon orang awam adalah para pegawai skMM, bukan polis! polis pun simpan gambar dan video bogel dalam h/p ada hati nak check orang awam punya. Ingat aku dah lupa ke! kes tahun 2009 di mana ada anggota polis merampas “wanita China” duk ketuk ketampi dalam lokap polis. Rupa-rupanya wanita melayu. So, kuasa ni patutnya SKMM yang ambilalih bukan polis.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker