Majikan gagal pastikan pekerja migran divaksin boleh dijel

 

Majikan wajib memastikan semua pekerja asing yang tinggal di tempat penginapan disediakan mereka untuk menerima vaksin Covid-19 seperti yang telah diputuskan kerajaan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberi amaran, sekiranya majikan gagal berbuat demikian mereka boleh didakwa melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) serta boleh dipenjara tiga tahun dan denda maksimum RM200,000.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) sarankan semua majikan untuk bawa semua pekerja asing yang digajikan mereka bagi mendapatkan vaksin di hospital-hospital kerajaan apabila (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dilaksanakan kelak,” katanya dalam sidang media maya hari ini.

Sidang media itu bertujuan untuk memberi taklimat kepada media berhubung formulasi ordinan darurat terhadap akta yang diwartakan semalam itu.

Saravanan berkata, langkah itu dibuat bagi menangani lonjakan kes Covid-19 dari kluster pekerja asing.

“Mana-mana majikan yang gagal memastikan pekerja asing atau pekerja yang tinggal di penginapan yang disediakan oleh majikan menerima vaksin, melakukan kesalahan di bawah Akta 446,” katanya.

Pekerja asing – terutamanya yang bekerja di tapak pembinaan dan kilang – menyumbang kepada tercetusnya kluster-kluster jangkitan terbesar di Malaysia setakat ini.

Penularan Covid-19 secara besar-besaran turut dikesan di pusat tahanan imigresen yang menempatkan pendatang asing tanpa dokumen.

Kerajaan pada awalnya meminta majikan menanggung semua kos imunisasi pekerja asing.

Bagaimanapun kabinet kemudian memutuskan untuk memberikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk negara ini, termasuklah bukan warganegara.

Ia termasuk diplomat, ekspatriat, pelajar, pasangan suami isteri, pekerja asing dan juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Malaysia menjadi tempat tinggal buat 1.7 juta pekerja asing buat masa ini.

Leave a Reply