Zahid Tempelak 90 Ahli Parlimen ASEAN Campur Urusan Malaysia

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menempelak 90 ahli Parlimen ASEAN daripada tujuh negara ASEAN yang menggesa Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri untuk membenarkan Parlimen bersidang tanpa sekatan secepat mungkin.

Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat dan tidak wajar untuk mana-mana pihak luar mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Secara sinis, beliau berkata ahli Parlimen terbabit sepatutnya bukan hanya memberi fokus terhadap Malaysia tetapi juga negara lain dalam ASEAN yang turut bergelut isu demokrasi.

“Cumanya saya berharap jika boleh seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN terbabit jangan hanya tertumpu kepada persoalan demokrasi di Malaysia.

“Sedangkan ada negara ASEAN lain turut bergelut dengan isu demokrasi selepas berlaku rampasan kuasa oleh junta tentera. Sila ambil maklum juga,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, sejak dahulu BN secara konsisten menolak campur tangan kuasa asing dalam urusan pentadbiran dan politik negara.

Pihak luar yang dimaksudkan tidak terhad kepada kerajaan atau pimpinan negara lain, malah badan bukan kerajaan dan media-media asing.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, kerajaan Malaysia tidak boleh ambil mudah berhubung desakan agar Parlimen Malaysia kembali bersidang.

Menurutnya, antara tujuan dan prinsip yang diabadikan dalam Piagam ASEAN yang turut dipersetujui Malaysia ialah kepatuhan negara anggota terhadap demokrasi.

“Kita bimbang isu ini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada hubungan bilateral Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, malah memberi tempias kepada ekonomi Malaysia di rantau ini.

Adakah 90 Ahli Parlimen ASEAN keliru antara Darurat Malaysia dan Darurat Myanmar?

“Walhal Malaysia yang mencadangkan sebuah pelan pemulihan ekonomi ASEAN pada Persidangan Khas ASEAN Mengenai Covid-19, April tahun lalu,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama 90 ahli Parlimen dari negara ASEAN menegaskan persidangan Parlimen penting untuk memastikan kebertanggungjawaban kerajaan, menilai langkah darurat, melindungi hak asasi, dan menyumbang ke arah proses membuat keputusan berkenaan dasar utama.

Kenyataan itu ditandatangani ahli Parlimen daripada Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Kemboja, Filipina dan Singapura.

“Kuasa darurat Malaysia jelas tidak menepati piawaian antarabangsa yang sedia ada dan mewujudkan keadaan di mana kebertanggungjawaban kerajaan amat terhad, dengan salah guna kuasa mungkin berlaku.

“Sebagai badan yang menyuarakan kehendak rakyat, Parlimen mempunyai kedudukan utama dalam demokrasi yang berfungsi, dan penggantungannya pada masa ini telah menidakkan penglibatan awam dalam proses membuat keputusan.

“Ini membimbangkan terutamanya di saat sebarang keputusan kerajaan akan meninggalkan kesan berkekalan terhadap hidup rakyat,” menurut kenyataan itu.-SM

90 Ahli Parlimen Dari 7 Negara Asean Gesa Parlimen Malaysia Kembali Bersidang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker