Tak sangka terima sumbangan RM20,000 dalam tiga hari

“Alhamdulillah, ramai prihatin dan menghulurkan sumbangan buat Abah selepas kisahnya disiarkan di Harian Metro. Saya sekeluarga amat menghargainya,” kata Siti Nabilah Mohd Izani.

Siti Nabilah, 27, yang juga anak kepada pesakit kulit psoriasis, Mohd Izani Mustafa, 59, memberi reaksi itu bagi menzahirkan penghargaannya kepada warganet kerana memberi sumbangan kepada bapanya yang kini masih menerima rawatan di Hospital Besut, Terengganu.

Malah, Siti Nabilah dan keluarganya tidak menyangka menerima sumbangan lebih RM20,000 dalam tempoh tiga hari selepas berita mengenai bapanya disiarkan.



“Memang ramai memberi sumbangan secara terus ke akaun bank abah dan menghantar produk makanan kesihatan secara pos.

“Selain itu, ada pihak menawarkan untuk mendapatkan bantuan zakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghubungi saya untuk membantu mengumpul dana.

“Namun, saya terpaksa menolak secara baik kerana sumbangan diterima sudah terlalu banyak hingga saya sekeluarga bimbang jika mengambil wang yang bukan hak kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Siti Nabilah berkata, sumbangan diterima itu akan digunakan untuk kos rawatan bapanya kelak dan seandainya ada lebihan, wang itu akan disalurkan kepada individu kurang bernasib baik yang lebih memerlukan.



“Buat masa ini wang itu belum terusik kerana abah masih menerima rawatan di hospital sama .

“Seandainya diperlukan kelak, kami akan menggunakannya sebagai ikhtiar untuk merawat abah,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Siti Nabilah berkata, keadaan bapanya masih sama cuma emosinya bertambah baik berbanding sebelum ini.

Semalam, keadaannya agak teruk, tetapi hari ini abah lebih ceria dan banyak bercakap.



“Abah tahu kisahnya disiarkan di akhbar dan terharu dengan doa dan keprihatinan mereka yang menghulurkan sumbangan,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, portal berita Harian Metro menyiarkan kisah Mohd Izani yang menderita akibat penyakit psoriasis sejak 30 tahun lalu.

Namun, kesihatan Mohd Izani merosot apabila tangan serta kaki tidak dapat bergerak manakala kulitnya menjadi kemerahan dan menggelupas hingga dimasukkan ke Hospital Besut pada 6 Februari lalu bagi mendapatkan rawatan.

Kisah Mohd Izani yang menetap di Kampung Batang Gergaji Apal, Besut, Terengganu turut mendapat perhatian warganet selepas anak kelimanya, Muhammad Najmi, 21, berkongsi luahan menerusi ciapan di Twitter, selain mengharapkan ada pakar kulit dapat merawat bapanya.-HM



“Bapa OKU, anak pula curi kerusi roda bapa..” – Uncle Kentang Sebak [ VIDEO ]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker