Ini maklumat yang perlu dan tak perlu diberi ketika melalui ‘Sekatan Jalan Raya’

Insiden seorang anggota polis yang menghantar pesanan kepada seorang perempuan setelah mendapatkan nombor telefonnya ketika sekatan jalan raya telah membangkitkan perhatian, antaranya berkenaan apakah maklumat yang perlu diberi kepada polis.

Polis itu yang kini dalam siasatan dikatakan menghantar pesanan untuk “berkenalan” dengannya.

Bagaimanapun, peguam yang dihubungi Malaysiakini berkata nombor telefon anda tidak termasuk dalam maklumat yang perlu diberi jika diarahkan berhenti ketika sekatan jalan raya.

Peguam Raj Thanarajah berkata, hanya tiga maklumat yang anda perlu beri kepada polis dalam situasi itu.

“Di bawah Akta Polis 1967, apabila polis hentikan anda, mereka hanya ada satu hak, iaitu untuk lihat sama ada awak ada kebenaran undang-undang atau lesen untuk memandu. Lesen itu berpandukan Akta Pengangkutan Jalan.

“Sebaik saja polis melihatnya, ia sepatutnya memadai. Satu lagi yang polis boleh minta adalah kad pengenalan kerana di bawah Akta Pendaftaran Negara, setiap warga perlu sentiasa bawa kad pengenalan,” katanya.

Raj Thanarajah

Katanya lagi, perkara ketiga yang boleh diminta polis, yang merupakan tambahan ketika penularan Covid-19, adalah kebenaran untuk keluar melangkaui radius 10 kilometer yang dibenarkan.

“Kebebasan bergerak tertakluk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan ‘lesennya’ adalah surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Jadi, adakah polis ada hak untuk minta nombor telefon? Jawapannya tidak sama sekali,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Raj menjelaskan yang ada keadaan di mana polis boleh memintanya.

“Iaitu ketika mereka sedang membuat siasatan dan anda sebahagian daripada siasatan. Tetapi dalam keadaan biasa, maklumat yan boleh diminta polis terhad,” katanya.

 

Apa perlu dibuat jika polis minta nombor telefon

Jika polis meminta maklumat itu ketika sekatan jalan raya, Raj berkata individu perlu bertenang dan mengendalikan situasi itu secara baik.

“Kekal bersopan dengan polis. Mereka sedang bertugas dan anda perlu hormat seragam mereka. Kita bukan seperti rakyat di negara tertentu yang menunjukkan rasa tidak hormat kepada polis.

“Tanya tujuan mereka minta nombor. Pihak autoriti akan berjaga-jaga apabila anda menggunakan hak anda.

“Kata kepada mereka yang mereka boleh lihat lesen atau kad pengenalan, tetapi nombor telefon tiada kaitan dengan pemeriksaan,” katanya lagi.

Raj menasihati orang ramai agar tahu akan hak mereka dan patuh kepada undang-undang. Dia juga menekankan pentingnya untuk memastikan pihak berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa.

“Kuasa yang digunakan mesti dalam skop yang terhad. Jika anda tak tahu hak dan kuasa disalah guna, ia boleh membawa kepada keadaan yang lebih buruk,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia Noor Aziah Mohd Awal berkata jika orang awam gagal menunjukkan lesen memandu atau kad pengenalan kepada polis ketika sekatan jalan raya, polis berhak untuk mengeluarkan denda.

“Tetapi mereka tak boleh tahan anda. Ini bukan kesalahan yang membenarkan penahanan.

“Jika mereka mengancam untuk tahan atau minta sesuau untuk bebaskan anda, seperti minta untuk lihat atau sentuh tubuh anda, polis itu telah buat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

Jika insiden seumpama itu berlaku, Noor Aziah berpesan agar individu ingat nama anggota yang terlibat dan lokasi kejadian dan seterusnya membuat laporan polis.

Dalam satu lagi insiden sekatan jalan raya pada 12 Februari, seorang wanita mendakwa seorang polis memintanya untuk mengangkat baju untuk mengelakkan disaman kerana gagal menunjukkan lesen memandu.

Wanita itu juga mendakwa polis tersebut memintanya memberi nombor telefon.

Polis berkenaan telah dipindahkan untuk melakukan tugas pejabat sementara siasatan selesai.

Leave a Reply