[VIDEO] Mohd Afiq mula beri tindak balas

Keadaan Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini 23, yang dilaporkan kritikal akibat komplikasi hati bertambah baik apabila mula memberikan tindak balas, pagi tadi.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan bapanya, Muhammad Zaini Rahim, 50, yang menemani anak sulungnya di wad rawatan separa rapi (HDW) Hospital Selayang selepas tidak sedarkan diri sejak Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, sudah nampak ada perubahan pagi tadi ketika saya memanggil namanya dan mengurut-ngurut kaki dan tangannya apabila dia membalas dengan beberapa gerakan.

“Walaupun dia masih belum sedarkan diri dan membuka mata, namun bila nampak ada sedikit tindak balas daripadanya, saya rasa amat senang hati berbanding sebelum ini hanya lihat dia kaku, langsung tidak bergerak.

“Saya harap ini akan menjadi petunjuk dia segera sembuh dan keadaan kesihatannya bertambah baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, doktor masih memberikan ubat-ubatan untuk menstabilkan hati Mohd Afiq dan menilai serta memantau keadaan kesihatannya dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini dia masih memakai alat bantuan pernafasan dan diberikan susu melalui saluran tiub khas pada hidungnya.

“Doktor juga masih meneruskan pemberian ubat dan ‘rehatkannya’ untuk menstabilkan kembali keadaan hatinya.

“Tengoklah beberapa hari ini nanti bagaimana penerimaan hatinya, kita harap mudah-mudahan semuanya bertambah baik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sejak berita mengenai anaknya tersebar, ramai individu termasuk kenalan lamanya serta rakyat Malaysia memberikan kata perangsang dan mendoakan kesihatan Mohd Afiq.

“Sejak tahu dia sakit ramai hantar mesej WhatsApp, malah ada juga buat panggilan telefon dan ucapan di Facebook dan Instagram kerana ramai masih ingat lagi kisah pemindahan organ dia dulu.

“Saya amat terharu dengan sokongan diberikan yang mahukan Afiq kembali sembuh.

“Hanya ucapan terima kasih mampu saya berikan dan saya mohon sekali lagi teruskan berdoa untuk kesembuhan dan kebaikan anak saya,” katanya.

Mohd Afiq pernah mencatat sejarah negara apabila berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati pertama di Malaysia di sebuah pusat perubatan swasta pada 1999.

Hafizam ketika bertemu Afiq di Hospital Selayang baru-baru ini.

Dia yang ketika itu masih bayi mengalami masalah bengkak hati menerima hati daripada penderma hati pertama, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengannya.

Susulan itu, kisah mereka mendapat liputan meluas hingga membuka mata dan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan pendermaan organ.-HM

Doakan Kesembuhan Afiq

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker