Cuaca panas kembali reda pertengahan April

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca panas yang dialami di seluruh negara ketika ini dijangka kembali reda bermula pertengahan April ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, keadaan cuaca yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang berlaku sepanjang bulan Februari sehingga April setiap tahun.

Jelasnya, negara kini juga berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac tahun ini.



“Dalam tempoh ini taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung terutamanya di negeri sebelah utara.

“Taburan hujan yang rendah dalam tempoh lama boleh menyebabkan cuaca agak panas terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun kata MetMalaysia, pihaknya tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

Mengulas lanjut, MetMalaysia berkata, sehingga kini suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah sekitar 36.2°C berbanding bulan sama tahun lalu sekitar 37.4°C yang dicerap sekitar Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.



“Dalam keadaan cuaca panas ini, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti diluar dan minum air secukupnya,” ujarnya.

Pada masa sama, MetMalaysia turut menyarankan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi MyCuaca dan media sosialnya.-K! ONLINE

Amaran cuaca bahaya di 6 negeri



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker