Pekerja kilang maut tersepit mesin

TAPAH: Seorang pekerja sebuah kilang di sini maut selepas tersepit pada mesin conveyor di sebuah kilang kelapa sawit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Sabtu itu, mangsa pekerja warga Bangladesh, Abdur Rahim, 51, dipercayai sedang membersihkan bahagian dalam mesin.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, rakannya yang tidak menyedari kehadiran mangsa telah menekan suis lalu menghidupkan operasi mesin, lapor Sinar Harian.

Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tapah sebelum disahkan meninggal dunia.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, pasukan penyiasat dihantar bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, JKKP telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu terhadap jalur pengeluaran tersebut sehingga siasatan lanjut dan tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak majikan.

“Kita akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, Sistem Lock Out Tag Out (LOTO) merupakan salah satu langkah kawalan yang boleh dilaksanakan bagi mengelakkan pekerja lain menekan suis pengoperasian mesin ketika aktiviti penyelenggaraan dijalankan.

“Majikan bertanggungjawab mengenal pasti bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan melakukan kawalan risiko yang berkesan bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlaku kemalangan.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

Leave a Reply