Jika PN boleh ‘tarik’ Gerakan, mengapa tak boleh ‘tarik’ BERJASA, Putra?

Syor ‘tarik’ BERJASA, Ikatan, Putra dalam gabungan untuk pancing undi Melayu atas pagar

Kemasukan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak menambah sebarang nilai kepada Perikatan Nasional (PN), bahkan berkemungkinan hanya menjadi beban.

Demikian pandangan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya terhadap perkembangan yang diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Beliau berkata, kemasukan parti lain ke dalam PN bukanlah sesuatu mengejutkan memandangkan gabungan – yang ditubuhkan hampir setahun lalu – masih tidak stabil dan perlu diperkuatkan segera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Cuma yang agak menghairankan ialah kenapa parti yang sudah tamat riwayatnya ini masih didamba walhal ia sudah ditolak oleh pengundi Cina.

“Lagipun kalau kita lihat sejarah pemerintahan Gerakan di Pulau Pinang membuktikan mereka tidak membawa aspirasi sebagai parti berbilang bangsa kerana orang Melayu terus terpinggir di sana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menyifatkan kedudukan orang Melayu ibarat berada di hujung tanduk, Aminuddin berkata, kecuaian pemimpin mengatur strategi politik boleh membawa impak buruk kepada nasib bangsa dan agama.

Beliau berkata, rakyat khususnya orang Melayu mungkin meramalkan PN bakal ‘dicairkan’ oleh Gerakan, sama seperti UMNO dengan MCA di dalam Barisan Nasional (BN).

“Bila lagi pemerintah mahu mengubah nasib bangsa kalau bukan sekarang yang dikatakan sebagai kerajaan Melayu-Islam?

“Bagaimanapun, dalam konteks isu penyertaan Gerakan dalam PN ini, saya berpandangan tatkala rakyat sedang kuat membangkitkan mengenai perpaduan Melayu dan semua parti sekarang memancing orang Melayu, kenapa PN tidak mengambil kesempatan sedemikian secara lebih serius?,” soalnya.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, banyak parti-parti Melayu yang masih tidak dibawa bersama mana-mana gabungan seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

“Walaupun mereka ini kecil tetapi mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan membawa gagasan Melayu dan Islam.

“BN atau PN harus membawa pendekatan inklusif kerana era hanya satu parti mendominasi politik tanah air sudah pun berlalu,” katanya.

Justeru, Aminuddin mencadangkan BN dan PN mempertimbang kemasukan BERJASA, Ikatan dan Putra ke dalam gabungan masing-masing sebagai nilai tambah sekiranya berlaku tiga penjuru.

Beliau percaya, penyertaan tiga parti itu pasti akan mendapat sedikit kelebihan undi Melayu atas pagar kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

“Mereka ini ada bahagian-bahagian di seluruh negara, kepakaran dan jumlah jentera signifikan yang boleh dimanfaatkan.

“Tidak mustahil kekuatan yang tidak banyak inilah yang menjadi penentu dalam pertembungan tiga gabungan gergasi – BN, PN dan PH – dalam PRU15 nanti,” katanya.

Beliau yakin BERJASA, Ikatan dan Putra boleh mengimbangi ‘lubuk masalah’ di dalam BN atau PN, sekurang-kurangnya dari segi imej dan keyakinan rakyat khususnya masyarakat Melayu.

“Terpulanglah kepada BN atau PN bagaimana bentuk kerjasama itu nanti. Apakah mereka mahu hanya buat persefahaman tanpa sertai gabungan atau ajak masuk gabungan terus.

“Kerana saya yakin, mereka (BERJASA, Ikatan dan Putra) akan bertanding juga walau apa pun yang terjadi.

“Ingat, kali ini (PRU15) apa-apa kelebihan walaupun sedikit boleh menentukan siapa yang akan memerintah Malaysia,” katanya. Isma

Leave a Reply