‘Hati-hati hantar pulang warga Myanmar, bimbang Rohingya dizalimi’

Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (Reach) menggesa kerajaan agar berhati-hati dalam penghantaran pulang 1,200 warga yang kini ditahan di pusat tahanan imigresen, terutama etnik Rohingya.

Ketua Penyelaras Reach Iskandar Abdul Samad berkata meskipun menyambut baik usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Malaysia, tetap wujud kebimbangan terhadap keselamatan etnik Rohingya yang mungkin berdepan penindasan sebaik tiba di sana.

“Reach berharap kerajaan berhati-hati agar tidak menghantar pulang mereka yang akan dizalimi apabila tiba di Myanmar kelak.

“Kami menyokong jika mereka yang dihantar balik adalah mereka yang boleh mengancam keselamatan negara atau telah terlibat dengan kegiatan jenayah di Myanmar.

“Kebimbangan kami adalah terhadap kaum Rohingya yang beragama Islam yang tidak diiktiraf oleh pemerintah Myanmar,” katanya dalam kenyataan.

Dia membangkitkan laporan tindakan tentera Myanmar di Rakhine pada 2017, yang menyaksikan lebih 700,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh. Ia menerima kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Iskandar berpandangan, masalah pendatang tanpa izin dari Myanmar perlu diselesaikan dengan segera dan tegas, antaranya dengan menempatkan mereka semula ke negara ketiga bagi memulakan kehidupan baru dengan selamat.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar, selepas pemerintah tentera Myanmar menawarkan tiga kapal tentera laut bagi membawa mereka pulang, yang dijangka tiba 21 Februari ini dan berangkat pulang dua hari kemudian.

Menurut laporan Reuters, tawaran itu dibuat terhadap warga Myanmar yang ditahan di pusat tahanan imigresen Malaysia yang kebiasaannya menempatkan tahanan pencari suaka, pelarian dan mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud dan pegawai atase buruh di kedutaan Myanmar Win Min Soe sebelum ini dilaporkan mengesahkan perkara itu.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar bagaimanapun tidak menjawab permintaan Reuters untuk mengulas perkara itu.

Awal bulan ini, tentera merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Liga Demokrasi Kebangsaan dan mengisytiharkan darurat selama setahun.

Terdahulu, PBB turut menyuarakan kebimbangan rampasan kuasa itu akan memburukkan lagi keadaan ratusan ribu etnik Rohingya beragama Islam yang masih ada di negara itu.

Malaysia tidak mengiktiraf pelarian secara rasmi dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin.

Warga Myanmar yang ditahan sebelum ini termasuk etnik Kachin, Chin dan Rohingya yang melarikan diri daripada konflik etnik yang dilakukan oleh tentera Myanmar.

Malaysia menempatkan lebih daripada 154,000 pencari suaka dari Myanmar, menurut agensi pelarian PBB UNHCR, selain ribuan pekerja asing.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker