Formula tiruan, hasilnya juga tiruan – Zahid


Walaupun ada formula baharu yang hampir sama ditawarkan oleh gabungan parti bukan Barisan Nasional (BN) sejak 23 tahun lalu, malangnya ia tidak serupa.

Formula tiruan, maka hasilnya juga tiruan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden BN itu berkata, BN bukan setakat sebuah gabungan politik, ia adalah formula yang membawa kepada kemakmuran masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

BN menyuluh semangat konsensus keamanan dan perpaduan. Memandu sejarah keharmonian berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara.

”Sejak sekian lama dalamnya berdiri UMNO, MCA, MIC dan parti lain yang mewakili kepentingan segenap anggota masyarakat berbilang bangsa dan agama.

”Justeru, tidak keterlaluan apabila ada yang berpandangan jika berlaku perpecahan dalam BN, ia memberi maksud perpecahan dalam negara kerana sejak dulu rakyat bersatu mengikut prinsip BN,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Secara berkias, Ahmad Zahid berkata, Alternatif berpecah, pakatan berterabur, harapan berkecai.

Pada akhirnya sejarah membuktikan BN tetap formula terbaik untuk acuan perpaduan rakyat.

Jelasnya, UMNO, MCA, MIC dan parti komponen lainnya terus utuh bersama BN dengan berpegang kepada konsensus menjaga negara, membela negara.

Malah, terbukti BN tetap teguh walaupun terpalit riwayat hitam serangan dari dalam untuk meranapkan BN demi kepentingan mereka yang tersasar.

”Walau apa terjadi pemimpin, ahli dan penyokong BN akan terus memperkasakan BN.

”Mengukuhkan kerjasama dengan yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” ujarnya.

Untuk rekod, BN hilang kuasa pada 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya merampas Putrajaya.

Bagaimanapun, PH tumbang pada Februari 2020 dan menyebabkan pembentukan Perikatan Nasional yang turut dianggotai oleh beberapa Ahli-Ahli Parlimen BN. MG

Apa formula terbaik untuk PN menang besar PRU15?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker