Daging kerbau RM4.3 juta guna sijil halal mengelirukan dirampas

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 335 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM4.3 juta yang dikesan menggunakan logo halal mengelirukan dalam siri pemeriksaan sejak Isnin hingga semalam.

Pemeriksaan dilakukan di Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini.

Sepasukan penguat kuasa MAQIS negeri mengadakan pemeriksaan rutin dari jam 5.30 petang Isnin lalu hingga 12 tengah hari semalam sebelum mendapati 12 kontena yang membawa barangan daging sejuk beku masuk ke pelabuhan berkenaan.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan terbabit menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa negara ini.

“Pemeriksaan kita mendapati 12 kontena itu membawa daging kerbau sejuk beku seberat 335,914 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai hampir RM4.3 juta.

“Kesemua barang dagangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut memandangkan penggunaan logo halal yang mengelirukan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]

“Dalam seksyen ini, mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali,” katanya.

Pihak MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker