Tular 10 Beradik Sepakat Ubah Suai Rumah Kampung Mak Ayah, Bila Dah Siap Terus Jadi Tumpuan Orang Ramai
MENJADI impian setiap anak untuk membalas segala jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka.
Begitu juga dengan Mohammad Afiq, 24, bersama sembilan lagi adik beradiknya yang sepakat membuat renovasi kediaman ibu bapa mereka.
Mesra disapa Aq, anak kesembilan daripada 10 beradik itu bersyukur apabila usaha mereka bersama mampu memberikan senyuman buat bapa, Abdul Hamid Osman, 73, dan ibu, Wahida Wahid, 56, yang menetap di Bentong, Pahang.
Ketika dihubungi mStar, dia sempat memperincikan proses ubah suai itu yang dimulakan pada Jun tahun lalu.
“Rancangan asal nak buat pada bulan Mac, tapi ditunda ke Jun kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
“Niat asal nak bagi rumah tu siap sebelum Hari Raya Aidiltri. Alhamdulillah, ia siap dalam masa sebulan.
“Idea saya sendiri. Saya kemukakan idea dan adik beradik setuju. Kami berkongsi kos untuk proses ubah suai dalam dan luar rumah ibu bapa kami,” ujarnya yang mesra disapa Fiq.
Menurut Fiq yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), renovasi dengan tema neo klasik itu memakan belanja sekitar RM80,000.
“Material rumah tu kami gunakan simen board. Anggaran dalam RM70,000 ke RM80,000
“Dekorasi dalaman pula saya pilih neo klasik. Sofa, meja, lampu semua kami masukkan yang baharu,” ujarnya yang menetap di Sepang, Selangor.
Biarpun banyak berhabis wang, dia percaya pada konsep rezeki dan keberkatan dan menganggap apa yang diberi sebagai satu cara untuk membalas pengorbanan orang tuanya.
“Saya dah kerja lima tahun. Memang ada niat nak hias rumah. Sebab masa kecil dulu mak selalu cakap, kalau boleh nak tengok rumah kami cantik.
“Bila dah tunaikan apa yang mak ayah minta, rasa sangat gembira dan bangga. Bab rezeki pula, saya bukanlah kaki enjoy.
“Bila dapat rezeki, saya dahulukan mak, ayah keluarga dan barulah kawan-kawan. Ada gaji, bawa mak ayah jalan-jalan ke Kuala Lumpur
“Kalau balik Bentong, saya akan usahakan untuk belanja makan sambil berkumpul ramai-ramai adik beradik. Mereka duduk berdekatan rumah mak ayah,” ujarnya.
Dedah Fiq, sebelum video renovasi kediaman ibu bapanya tular di TikTok, ia terlebih dahulu meraih perhatian ramai di Instagram.
Malah, penangan tular menyebabkan ada individu yang berhenti di hadapan kediaman itu termasuklah yang meminta kebenaran untuk merakam gambar.
“Ramai orang bagi komen positif, tak jumpa pun yang negatif. Ada orang lalu depan rumah, berhenti, minta izin mak ayah saya untuk bergambar kat rumah.
“Saya pun tak jangka ia boleh viral. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang doakan saya dan keluarga.
“Moga mereka dimurahkan rezeki dan berada dalam lindungan Allah,” ujar jejaka bujang itu.
Kata Fiq lagi, ibu bapanya kini dalam proses untuk menanam pokok di sekeliling kediaman itu.-mSTAR