KKM perjelas isu SOP kuarantin jemaah menteri

 

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjelaskan mengenai isu diperkatakan masyarakat berhubung dakwaan anggota kabinet menjalani kuarantin tiga hari selepas pulang lawatan luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia perlu dijelaskan yang menggunapakai Seksyen 29 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021.

Beliau berkata, semalam sudah pun diwartakan iaitu menggunakan Seksyen 29 daripada Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk membuat pengecualian melalui perintah itu.

“Sebelum ini kita menggunakan Akta 342 Seksyen 15 (1) iaitu setiap individu pulang dari luar negara akan diberikan perintah pengawasan di rumah (HSO) dan dipakaikan gelang yang akan dikuarantinkan tempohnya dahulu 14 hari, dipendekkan kepada 10 hari.

“Daripada 10 hari kita boleh pertimbangkan untuk tujuh hari melainkan kalau tiga hari sudah pun dijalankan ujian di negara berkenaan sebelum mereka kembali ke Malaysia.

“Tetapi Akta Seksyen 29 mengecualikan menggunakan Seksyen 15 (1). Kalau kita baca iaitu perintah pengecualian diwartakan berkuat kuasa pada 9 Februari sehingga 1 Ogos 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung situasi semasa jangkitan penyakit virus Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, menurut warta itu di mana pengecualian Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi ke luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta yang sama.

“Sebaliknya mereka akan menjalani perintah pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain.

“Jadi (perkataan) atau itu mungkin tujuh hari, mungkin 14 hari atau mungkin dilanjutkan sampai 21 hari.

“Kita lihat sekiranya mereka kembali, kita menggunakan Seksyen 29, mereka kena patuh kepada laluan hijau timbal balik. Sebelum mereka bertolak, mengemukakan permohonan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan luluskan. Apabila Kabinet luluskan, kita akan melihat jadual, prosedur operasi standard (SOP) dan juga urusan yang rasmi,” katanya.

Berkenaan lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo di Jakarta, baru baru ini, katanya, ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sudah dijalankan kepada pemimpin negara pada 3 Februari sebelum berlepas.

“Apabila sampai ke Jakarta, pada 4 Februari ujian sekali lagi dijalankan dan kembali ke Malaysia. Pada 5 Februari iaitu hari pertama, saya sudah pun keluarkan kebenaran HSO untuk kuarantin di rumah dan dipakaikan gelang.

“Ujian swab dijalankan pada hari ini iaitu pada hari kelima dan juga akan melengkapkan jadual kuarantin untuk tempoh tujuh hari. Jadi tujuh campur tiga adalah 10 hari,” katanya.

Bagi lawatan ke luar negara katanya, hanya untuk urusan yang rasmi dan juga jadual sudah pun dikemukakan.

“Kita akan melihat kepada aktiviti yang ringkas dan padat tetapi tidak membabitkan orang ramai contohnya di tempat awam.

“Dan yang penting ialah menggunakan pesawat sendiri. Iaitu kalau pesawat komersial kita tidak pertimbangkan. Jadi ada perincian yang harus dijelaskan untuk dapatkan ‘bubble’ (laluan hijau timbal balik),” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker