Remaja lelaki maut ditikam abang ipar


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut dipercayai ditikam abang iparnya dalam kejadian di tempat letak kereta blok perumahan di Taman Pinggiran Batu Caves di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, mangsa dipercayai berang selepas suspek mengeluarkan perkataan tidak baik terhadap ibunya sebelum berlaku pergelutan.

Beliau berkata mangsa cedera parah selepas ditikam di dada dan dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 9 malam itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila kakak mangsa enggan tinggal bersama suaminya iaitu suspek kerana kurang selesa apabila rumah yang didiami itu turut dihuni adik-beradik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya polis menahan sembilan individu termasuk lima wanita berusia 25 hingga 72 tahun dalam operasi bermula pada hari kejadian hingga semalam, bagi membantu siasatan selain merampas sebilah pisau lipat berukuran 17 sentimeter.

Arifai berkata kesemua mereka direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Bernama

Leave a Reply