Zizan kembali dalam Hantu Bonceng 2.0


Pelawak, Zizan Razak kembali dalam filem Hantu Bonceng 2.0 selepas sedekad filem Hantu Bonceng berjaya pecah panggung dengan kutipan pawagam sebanyak lebih RM8.5 juta.

Filem seram komedi tersebut masih mengekalkan genre terdahulu tetapi dengan jalan cerita yang lebih segar, mutu produksi yang lebih tinggi, barisan pelakon berbakat serta pengarah serba boleh iaitu Datuk Yusry Abd Halim.

Menurut Penerbit Eksekutif Hantu Bonceng 2.0, Datuk Azlan Shah Jaffril berkata, filem terdahulu telah meraih sambutan hangat di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Meskipun telah 10 tahun ia ditayangkan namun jenama Hantu Bonceng masih segar dalam kalangan peminat filem tanah air dan kesinambungannya sering dinantikan oleh penonton.

“Dengan kemampuan Astro dalam memasarkan filem, kami percaya filem ini dapat dibawa secara menyeluruh kepada penonton sasaran.

“Harapan kami agar kehadiran filem ini mampu mengembalikan fenomena filem seram komedi permotoran motosikal yang pernah mengusai industri filem tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem Hantu Bonceng telah berjaya mencipta fenomena dalam industri layar perak pada tahun 2011.

“Kami percaya ramai yang teruja apabila filem pecah panggung tersebut bakal kembali menerusi sekuel terbarunya.

“Memahami penonton yang sering menginginkan konten baru dan menarik, Astro Shaw tidak teragak-agak untuk bawakan filem Hantu Bonceng 2.0 terus ke pawagam rumah anda, Astro First,” ujarnya.

Tambah Jastina, industri filem tempatan khususnya filem Melayu lebih cenderung kepada genre seram, komedi dan aksi.

“Begitu juga dengan filem-filem di Astro First dan buktinya dengan kejayaan filem komedi Mael Totey The Movie telah meraih sebanyak lebih RM6.4 juta, filem komedi seram Syif Malam Raya lebih RM3 juta dan filem komedi Manap Karaoke pula telah mendapat lebih Rm1 juta.

“Bagi filem Hantu Bonceng 2.0 pula, ia bukan sahaja mengangkat dua genre popular iaitu seram dan komedi malah dipadatkan lagi dengan gabungan sub-genre aksi permotoran motosikal yang mana sering menarik perhatian kaki wayang,” tegasnya.

Selain itu, filem ini turut menyelitkan lagu AEWO nyanyian Shiha Zikir bersama Noki sebagai lagu tema utama filem. MG

Leave a Reply