Selain Pontianak, Ini 6 Lagi Jenis ‘Hantu Seram’ Masa Kecil Yang Sering Kita Dengar

Tarik nafas dalam-dalam dan teruskan membaca.

AMARAN: Koleksi cerita hantu ini boleh buat anda mungkin susah nak tidur malam. Baca atas tanggungjawab sendiri.

Di mana saja pelusuk dunia anda pergi, pasti setiap daripada negara tersebut mempunyai kisah-kisah seram tersendiri.

Kebiasaannya kisah-kisah legenda seram atau hantu selalu datang daripada kisah benar yang berlaku pada zaman dulu ataupun cerita asal yang telah direka dan ditambah bagi menakutkan orang ramai.



Malaysia tidak terkecuali dengan perkara ini, semasa anda kecil pernahkah anda mendengar beberapa kisah seram yang diceritakan oleh rakan, mahupun ahli keluarga anda?

Sudah pasti, anda mesti pernah mendengar beberapa kisah seram yang telah diceritakan. Jom kita recap balik antara koleksi kisah seram masa kecil dulu. Enjoy!

1. Pontianak

Puntianak atau ejaan yang sering kita dengar pontianak adalah antara nama hantu yang popular oleh masyarakat Melayu bahawa ia asalnya bermula daripada seorang perempuan yang mati ketika sedang mengandungkan anaknya.

Ia digambarkan sebagai wanita cantik berambut panjang, berbaju panjang warna putih dan keluar pada bulan purnama.



Sewaktu muncul selalu diiringi harum bunga kemboja, kononnya lelaki yang mendekatinya boleh terbunuh sesudah ia berubah wajah dan menjadi penghisap darah.

Namun, ramai menyamakan ia dengan langsuir yang gemar menghisap darah manusia.

2. Pocong

Hantu pocong atau hantu bungkus dikenali sebagai sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.

Pocong sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu Cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.



Mereka yang berani menangkap hantu bungkus dikatakan mampu mendapat kekayaan yang banyak. Ini kerana dikatakan, dalam bungkusan tersebut terdapat wang yang banyak.

Ianya dikatakan akan muncul bagi menunjukkan satu petanda dari si mati yang terlupa dibuka ikatan kafannya sebelum dikebumikan.

3. Toyol

Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus yang juga sering diperkatakan dalam kepercayaan Melayu. Ianya dikatakan bertubuh kecil seperti kanak-kanak dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil.

Kononnya, toyol akan dipelihara oleh tuannya dalam sebuah botol kecil dan pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari atau setiap bulan mengambang.



Ia bertujuan membantu pemiliknya mendapatkan duit dengan mencuri daripada jiran tetangga.

Toyol mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.

Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol. Toyol yang dipelihara, dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam.

Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.



4. Hantu kopek

Hantu kopek ialah sejenis makhluk halus yang suka menganggu manusia. Kononya, hantu kopek merupakan seorang wanita tua dipercayai bagi menakut-nakutkan kanak-kanak agar tidak berkeliaran di waktu senja.

Hantu kopek menyembunyikan mereka dengan cara menyimpannya dalam buah dada. Mereka yang disorok oleh hantu kopek biasanya mampu melihat tetapi tidak boleh berkomunikasi dengan dunia luar.

Masyarakat Jawa percaya hantu kopek sering menyamar menjadi wanita cantik dengan buah dada yang besar bagi menarik perhatian kanak-kanak lelaki.

5. Orang bunian

Orang bunian dikatakan mempunyai bentuk badan yang sama seperti manusia. Mereka juga mempunyai keluarga, puak, dan struktur masyarakat tersendiri. Orang bunian mendiami di kawasan hutan belantara untuk jauh dari perhubungan manusia.



Oleh kerana orang bunian mirip dengan manusia, maka tidaklah menghairankan terdapat kisah mereka berkahwin dengan manusia.

Orang bunian juga dipercayai mempunyai kuasa luar biasa yang diketahui berkawan dan menolong manusia, terutama bomoh. Mereka dikatakan menculik manusia dan menyebabkan manusia sesat di dalam hutan.

Bagaimanapun, ada juga yang mempertikaikannya kerana perbezaan bagi manusia (berasal daripada unsur tanah) dan bunian (berasal daripada unsur cahaya).

6. Nenek kebayan

Nenek kebayan dikenali sebagai seorang wanita tua bongkok dan menakutkan yang tinggal di hutan dan gunung. Dia berbuat demikian kerana gemar menyendiri akibat mengamalkan ilmu hitam untuk memperoleh kuasa. Apabila berada jauh daripada masyarakat, senang bagi nenek kebayan untuk melakukan aktiviti khurafatnya.

Dikatakan nenek kebayan pada siang harinya, akan berubah wujud menjadi seorang nenek yang sangat tua dan hodoh dengan rambut putihnya yang panjang, punggungnya membungkuk ke depan dan berjalan menggunakan sebuah tongkat.

Namun pada malam harinya, nenek kebayan akan berubah lagi menjadi seorang wanita muda yang cantik. Masyarakat Melayu mengatakan nenek kebayan ini suka menyanyikan lagu kesukaannya ketika dia menampakkan diri.

Selain itu, masyarakat Melayu juga menyifatkan nenek kebayan sebagai perantara manusia biasa untuk berhubung dengan puteri kayangan dengan kuasa sakti yang dimilikinya.

7. Penanggal

Hantu penanggal merujuk kepada seorang wanita yang menuntut ilmu hitam bagi kepentingan mereka. Penanggal mampu menceraikan kepala dengan badannya dan mampu terbang dengan tali perut terurai-urai.

Penanggal dikatakan suka kepada darah perempuan yang bersalin dan sekirannya darah mereka dihisap, wanita bersalin itu akan mati. Oleh kerana itu, biasanya disekeliling rumah wanita bersalin (masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang berduri.

Penanggal akan terbang ke rumah yang dikenal pasti mempunyai wanita yang baru bersalin dan kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.

Selain itu, hantu penanggal tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu penanggal akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.

Naik pula bulu roma bila baca kisah hantu-hantu ni ya. Apa pun jangan terlalu takut nanti hantu suka! Says

Namanya seram ya ampun, namun rasanya lima bintang kau

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker