Isu pelanduk dua serupa: Pengasas Diamond Gold dituduh perasan Jue Aziz


ZAMAN sekarang ini pelbagai isu dibangkitkan oleh warga maya yang juga merupakan hulubalang papan kekunci. Daripada isu politik, hiburan sehinggalah kepada pengasas-pengasas produk yang diletakkan di bawah radar netizen.

Terkini ialah berkaitan dengan Pengasas Diamond Gold, Nur Nazirah Aleeya Zakaria, 34, yang diusik dengan pepatah pelanduk dua serupa.

Wajah beliau disamakan mirip artis Jue Aziz dan bermula dengan gurauan daripada kalangan kakitangan Diamond Gold terhadap majikan mereka, kini gurauan itu mengundang kecaman hulubalang papan kekunci yang menggunakan platform media sosial untuk menghentam sesuka jari!

Nur Nazirah Aleeya yang menggunakan akuan Instagram @nur_qasehaleeya merujuk kepada hantaran pada 8 Februari, baru-baru ini.

Sebagai insan biasa, walaupun beliau adalah pengasas produk, apabila dicuit secara keterlaluan, pastinya Nur Nazirah Aleeya terpanggil untuk menjawab hantaran-hantaran yang ditulis mahupun diciap ke atas dirinya oleh netizen yang menggunakan pelbagai platform media sosial.

Mengakui jarng-jarang membuat hantaran atau posting, menurut Nur Nazirah Aleeya, disebabkan sudah tular atau viral isu pelanduk dua serupa dengan Jue Aziz, beliau merasakan perlu tampil membuat kenyataan walaupun pada mulanya, beliau hanya mahu membiarkan kisah “Jue Aziz berniqab” berlalu atau mati begitu sahaja.

“Macam-macam komen netizen, ada yang mencuit hati ada juga yang sakit mata baca, perasan Jue Aziz lah dan macam-macam lagi.

“Sebelum saya menjelaskan secara lanjut, nama saya Nur Nazirah Aleeya dan saya bukanlah pelakon Jue Aziz sebaliknya adalah pengasas Diamond Gold,” kata Nur Nazirah Aleeya.

Beliau berkata, untuk pengetahuan ramai, video yang memaparkan visual dirinya dan tular baru-baru ini adalah video gurauan di antara dirinya sebagai majikan dengan kakitangannya.

“Apa kena mengena Jue Aziz dengan saya? Jujur cakap, tiada pertalian darah langsung. Cuma saya biasa terima usikan daripada staf dan kebanyakan orang yang bertemu saya, mereka kata wajah dan suara saya sama seperti Jue Aziz. Ada juga yang kata seperti Datin Seri Zizie Ezette

“Disebabkan sudah terbiasa dengan gurauan staf yang selalu mengusik saya dengan panggilan Jue Aziz, saya layankan saja staf saya dan yang merakamkan video ialah salah seorang staf, Sarah,” ujar Nur Nazirah Aleeya.

Menurut Nur Nazirah Aleeya lagi, kemungkinan juga disebabkan beliau baharu sebulan dua berniqab jadi niat stafnya adalah sekadar mahu bergurau, tidak lebih daripada itu.

Kata beliau lagi, jika didengar pada kata bual pun, ia dilontarkan secara spontan kerana sudah biasa ‘dipaksa’ berlakon oleh kakitangannya.

Nur Nazirah Aleeya menambah, kadang-kala apabila bekerja, kita semua berada dalam tekanan. Jadi dilayankan kakitangannya untuk menghilangkan rasa tertekan dengan kerja.

“Kita pun kadang-kadang tu kerja, stress. Jadi, layankan saja! Dengan staf ada masa kita sebagai majikan atau ketua, perlu serius dan tegas dengan mereka dan ada masa pula, kita layan mereka seperti sahabat.

“Apapun saya nak minta maaf kepada Jue Aziz atau sesiapa sahaja yang tersinggung dengan gurauan kami,” kata Nur Nazirah Aleeya. SM

Leave a Reply