Anak Rhoma Irama ditangkap lagi, pil ekstasi ditemui dalam seluar, positif amfetamin

JAKARTA: Penyanyi dangdut, Ridho Rhoma, ditangkap di sebuah apartmen di Jakarta Selatan berhubung kes penyalahgunaan dadah, lapor portal berita Kompas.com.

Ketua Bidang Hubungan Masyarakat Polis Metro Jaya, Yusri Yunus mengesahkan penangkapan anak kepada legenda dangdut, Rhoma Irama itu.

Sewaktu serbuan dibuat oleh pasukan antidadah Polis Pelabuhan Jakarta Utara di unit apartmen berkenaan, Ridho sedang bersama dua orang lelaki lain.

“Pada 4 Februari lalu, memang benar kami menahan Ridho di salah sebuah apartmen di daerah Jakarata Selatan. Kami menahan tiga orang di dalam apartmen itu,” kata Yusri kepada Kompas.com.

Tambahnya, dalam operasi itu polis menemukan tiga biji pil ekstasi di seluar Ridho, dan apabila diarahkan untuk membuat pemeriksaan air kencing, Ridho didapati positif metamfetamin dan amfetamin.

Dua lagi rakannya bagaimanapun menunjukkan hasil negatif.

Ridho berdepan pertuduhan di bawah Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 berkaitan dadah yang membawa hukuman penjara minimum empat tahun dan maksimum 12 tahun.

Ridho Rhoma pernah didakwa atas kes yang seumpamanya empat tahun lalu iaitu pada tahun 2017. Ketika itu, dia didakwa kerana positif dadah jenis syabu.

Dalam kes sebelum ini, di hadapan petugas media, Rhoma Irama pernah menitiskan air mata atas nasib yang menimpa anaknya, dan berkali-kali menegaskan bahawa Ridho anak yang baik dan hanya menjadi mangsa keadaan.

Ridho juga dalam pengakuan kepada umum, mahu berubah menjadi orang yang lebih baik dan mengikuti nasihat bapanya, seorang figura yang disegani ramai.

Begitupun, bagi tangkapan kali ini, netizen menyifatkan semua kesedihan dan harapan Rhoma selama ini untuk anaknya suatu yang sukar untuk diterima.

Sumber: Detik.com

Leave a Reply