Kerjasama UMNO dalam Perikatan Nasional semakin sukar
Beberapa hari ini tersebar video bendera Perikatan Nasional (PN) sedang dicetak dan tentulah ia persiapan untuk menghadapi pilihan raya.
Terdapat juga poster Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan logo Pas dan Bersatu di dalam PN.
Memang UMNO tiada di dalam PN. Dan nampaknya Muhyiddin begitu yakin kerjasama dengan Pas dan mahu meminggirkan UMNO, tetapi bekerjasama dengan sebilangan ahli parlimen dari UMNO.
Setelah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan hanya memperolehi peruntukan sebanyak RM100,000 bagi Parlimen Bagan Datuk berbanding parlimen lain termasuk pembangkang memperolehi RM3 juta, tiada sebarang penafian dibuat oleh pihak Muhyiddin.
Ini bermakna ia adalah benar dan Muhyiddin sengaja meminggirkan Zahid selaku presiden UMNO kerana sering mengkritik pemimpin Bersatu dan Muhyiddin.
Pada masa yang sama Muhyiddin memilih untuk bekerjasama dengan para pemimpin UMNO yang lebih mesra dengan beliau, khususnya yang mempunyai jawatan di dalam Kabinet.
Ada cakap-cakap kerajaan Muhyiddin akan tumbang minggu hadapan dan pada masa yang sama terdapat gerakan Kami Minta Lima yang mahukan Yang di-Pertuan Agong masuk campur yang kesimpulannya meminta kerajaan sekarang diganti.
Kerajaan sekarang gagal melaksanakan perintah kuarantin secara saksama tanpa mengira status, dan gagal membendung penularan wabak Covid-19 serta tidak mampu memulihkan ekonomi negara.
Gerakan Kami Minta Lima ini nampak seperti remeh, tetapi setakat ini ia menjadi ikutan di media sosial dan gerakan sebegini boleh menumbangkan kerajaan apabila rakyat bergabung menuntut kerajaan yang lebih baik.
Sikap Muhyiddin sukar untuk membentuk kerajaan yang stabil yang sangat diperlukan untuk memulihkan ekonomi negara yang berada pada kedudukan paling buruk dalam sejarah negara dan reputasi negara yang terjejas kerana tahap integriti pentadbiran yang baik juga semakin merosot.
Muhyiddin harus faham bahawa akar umbi UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu dan Zahid selaku presiden hanya akur dengan kehendak akar umbi yang menentukan hidup mati parti itu.
Para elit parti mungkin mempunyai pandangan berbeza dan cuba menafikan apa yang diluahkan oleh akar umbi, tetapi perbuatan mereka hanya ibarat menembak kaki sendiri dan akan membuatkan UMNO lemah dan berpecah.
Tindakan beliau terlalu kebudak-budakan terhadap Zahid hanya menyebabkan akar umbi UMNO bertambah benci, kerana wang yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat adalah hasil daripada pembayar cukai dan bukannya wang parti.
Akhirnya rakyat yang merasa terkesan dan tempias daripada sikap pemimpin yang seperti budak tadika ini. SM