Demi Kelangsungan Hidup…Bakti Isteri Hamil Jaga Suami Terlantar
Georgetown: Demi kelangsungan hidup, ibu kepada dua anak mengambil alih tugas ketua keluarga selepas suaminya kini terlantar akibat diserang strok buat kali kedua pada Disember lalu.
Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang akibat pandemik Covid-19, wanita itu Magdalena Herkules Manalu, 39, terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari rezeki keluarga.
Magdalena yang kini hamil tujuh bulan berkata, suaminya Choong Nai Fatt, 44, sebelum ini bekerja sebagai mekanik tetapi keadaan kesihatannya kurang baik selepas diserang angin ahmar pada 2018 lalu.
Katanya, ketika itu semua wang simpanan mereka dikeluarkan bagi membayar kos rawatan penyakit suaminya sehingga kembali sihat.
“Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, suami sekali lagi diserang angin ahmar selepas pembuluh darah di kepalanya pecah dan terpaksa menjalani pembedahan.
“Sejak itu, dia terlantar di atas katil dan hanya minum susu khas menerusi tiub yang disalurkan melalui hidung.
“Kami pernah keputusan bekalan makanan, namun malu meminta-minta dengan jiran, kerana itulah saya menyelongkar tong sampah demi mencari sesuap nasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Lenggong, Jelutong, di sini.
Magdalena yang memiliki taraf penduduk tetap berkata, dia biasanya akan keluar sekitar 5 pagi setiap hari untuk menyelongkar tong sampah sebelum menjual barangan yang diperolehi di pasar karat, di sini.
Katanya, dia kadangkala membawa anak keduanya Choong Yee, 3, keluar berniaga manakala anak sulung, Choong Ro Ueen, 9, pula menjaga suami di rumah.
“Pendapatan saya sehari kira-kira RM20 akan digunakan bagi membeli keperluan dapur dan disimpana untuk kegunaan anak ketiga yang dijangka dilahirkan pada April depan.
“Suami menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dua tahun lalu dan wang itu digunakan bagi membeli lampin pakai buang dan susu khas berharga RM90 setin untuk kegunaan selama dua hari,” katanya berasal dari Medan, Indonesia dan sudah tinggal di Pulau Pinang hampir 20 tahun lalu.
Magdalena juga bimbang sekiranya tiada yang dapat membantu menjaga anak dan suaminya ketika dia melahirkan anak kelak kerana tiada saudara mara di negeri ini.
Katanya, rumah yang didiami kini adalah peninggalan mendiang ibu mentuanya, namun dia juga memikirkan masa depan sekiranya apa-apa berlaku kepadanya.
“Jika mempunyai modal, saya mahu berniaga secara dalam talian selepas melahirkan anak nanti kerana tidak boleh meninggalkan suami yang perlu diberikan perhatian,” katanya.-HM
You must be logged in to post a comment.