Kerajaan Tanpa Mandat Rakyat Dan Parlimen

 

Semalam pada masa yang sama dengan ucapan perutusan Hari Wilayah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, satu portal berita (Malaysian Insights) telah membuat tinjauan (survey) kepada 5,000 responden secara rawak di media sosial sama ada rakyat berpuas hati dengan kerajaan PN atau tidak.

Tinjauan ini mendapati bahawa 93.9% responden berkata mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan PN dengan pelbagai hujah, termasuk jatuhnya Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Dunia, barisan Kabinet yang terlampau ramai, keputusan mengadakan perintah darurat dan karenah dwistandard dalam penguatkuasaan SOP COVID-19.



Dalam satu tinjauan lain oleh satu badan kajian (Emir Research) baru-baru ini pula mendapati bahawa lebih dari separuh responden tidak yakin dengan halatuju negara di bawah kerajaan PN.
Kajian ini juga mendapati bahawa 62% responden tidak berpuas hati dengan masalah moral ahli politik.

Kedua-dua organisasi yang menjalankan kajian ini bukanlah organisasi yang berkaitan dengan Barisan Nasional, malah mereka sebenarnya agak kritikal terhadap Barisan Nasional sebelum ini.
Dan salah satu daripada badan di atas ada kaitan dengan parti PPBM sendiri.

Tentunya kerajaan dan penyokong-penyokong mereka akan menafikan angka-angka ini dan kekal berapa dalam sindrom penafian.

Namun mereka tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa rata-rata rakyat kini tidak percaya kepada kerajaan PN untuk menjaga kepentingan, keselamatan dan kebolehidupan mereka.



Baru-baru ini juga satu badan bertauliah antarabangsa iaitu Fitch Group mendapati bahawa prospek ekonomi Malaysia akan bertambah buruk.

Mandat rakyat, mandat suci

Mereka menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini akan menurun kepada 10 peratus dengan penurunan permintaan domestik atau “penggunaan swasta yang disenyapkan”.



Mereka berkata, “Pekerjaan dan gaji cenderung sekali lagi berada di bawah tekanan yang kuat, kali ini dengan ruang lingkup sokongan fiskal yang lebih rendah, memandangkan kewangan kerajaan sudah tegang dan hampir dengan had hutang yang meningkat sebanyak 60 peratus dari KDNK.”

Sebelum ini pada tahun lepas saya telah menjangka bahawa ekonomi Malaysia akan bermasalah kerana permintaan yang berkurangan (demand-side) dan bukannya penawaran (supply-side).

Sebab itu sebelum ini saya dan rakan-rakan terutama Dato’ Sri Najib telah mencadangkan supaya kerajaan memudahkan pengeluaran KWSP rakyat supaya rakyat mempunyai tunai di tangan untuk membantu mereka menghadapi kesukaran kehilangan pendapatan dan pada masa yang sama dapat membantu merangsang permintaan ekonomi dan penggunaan swasta.

Namun saranan ini diambil sambil lewa sahaja oleh kerajaan di mana walaupun KWSP dibenarkan dikeluarkan namun pelbagai syarat masih dikenakan kepada rakyat yang menyukarkan mereka untuk membuat pengeluaran.



Kerajaan hari ini tidak lagi mendapat sokongan rakyat malah kerajaan dan Perdana Menteri juga telah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Mereka tidak boleh berselindung di sebalik darurat untuk mengekalkan kuasa tanpa mandat atau sokongan rakyat dan Parlimen.

Parlimen perlu dibuka untuk bersidang segera untuk menyemak imbang kerajaan supaya kehidupan rakyat lebih terjaga dan untuk mencegah keadaan daripada menjadi lebih buruk.

ISHAM JALIL
1 Februari 2021



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker