Kelas KAFA di TV AlHijrah
TV AlHijrah melancarkan Rancangan KAFA d’Hijrah – program pembelajaran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
KAFA d’Hijrah akan disiarkan di saluran TV AlHijrah setiap Isnin hingga Sabtu, bermula jam 4.30 petang hingga 5 petang.
Manakala siaran ulangannya pula adalah pada jam 11.30 pagi dan 6.30 petang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, program KAFA d’Hijrah adalah strategi baik yang bukan bersifat menandingi tapi mengisi kekurangan pedagogi moden pembelajaran waktu ini agar pelajar tidak tercicir dalam meneruskan proses pembelajaran ilmu agama.
Beliau berpesan agar para ibu bapa yang berkelapangan untuk menonton siaran KAFA d’Hijrah bersama anak-anak agar ilmu tersebut dapat didalami bersama seisi keluarga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah memikul tanggungjawab menerbit serta menyiar rancangan KAFA d’Hijrah bagi mengisi kelompongan sesi pembelajaran di rumah pada waktu ini yang disebabkan keterbatasan kemudahan seperti capaian Internet, komputer riba dan telefon bimbit.
”Buka sahaja televisyen, barisan guru-guru berkelayakan akan menyampaikan ilmu buat semua.
”Minggu pertama bulan Februari adalah minggu pembelajaran bab satu Al-Quran buat pelajar darjah 1 hingga darjah 6.
”Diikuti subjek Ibadah pada minggu kedua, Sirah pada minggu ketiga dan Jawi serta Khat pada minggu terakhir Februari.
”Manakala subjek Bahasa Arab akan disiarkan pada minggu pertama bulan Mac dan diikuti subjek Akidah pada minggu kedua bulan Mac sehingga selesai pembelajaran untuk bab satu,” katanya.
Minggu berikutnya masuk kepada bab dua dan aturan ini akan diulang pada minggu-minggu seterusnya. MG