‘Pencen seringgit’ pun tak dapat jika bersalah

Penjawat awam yang didapati bersalah kerana terlibat dengan rasuah akan hilang segala manfaat persaraan termasuklah ‘pencen seringgit’.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, perkara itu jelas termaktub dalam pekeliling perkhidmatan dan peraturan-peraturan semasa yang terpakai untuk penjawat awam.

Katanya, tindakan itu juga secara automatik terpakai sebaik sahaja penjawat awam berkenaan termasuk pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

“Dalam perkhidmatan awam, jika didapati (penjawat awam itu) bersalah dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah, maka sudah tentu dia akan hilang segala-galanya.

“Jadi tidak timbul lagilah dia akan dapat pencen seringgit atau manfaat yang lain sebab telah jelas mengikut pekeliling perkhidmatan dan peraturan semasa yang terpakai maknanya penjawat awam tersebut tidak dapat apa-apa lagi.

“Segala-galanya (manfaat) daripada tempoh perkhidmatan akan hilang. Pencen pun tidak ada. Bagaimana hendak dapatkan pencen kerana perkhidmatan mereka (penjawat awam terlibat rasuah) telah ditamatkan sebaik sahaja mahkamah menjatuhkan hukuman kepada mereka,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai ‘pencen seringgit’ ke atas pegawai dan anggota PDRM yang ditamatkan perkhidmatan kerana terlibat dengan rasuah.

Menurut Ayob Khan, tindakan yang pernah dilaksanakan pada zaman bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar mungkin boleh diperkenalkan semula.

Langkah itu antara bukti ketegasan ke atas mana-mana pegawai kanan atau anggota bawahan yang terlibat dengan kesalahan tersebut-SH

Sebelum itu…

‘Beri mereka pencen seringgit’

Tindakan ditamatkan perkhidmatan atau ‘pencen seringgit’ terhadap pegawai dan anggota PDRM terlibat rasuah seperti yang pernah dilaksanakan ketika zaman bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar perlu diperkenalkan semula.

SHAH ALAM- Tindakan ditamatkan perkhidmatan atau ‘pencen seringgit’ terhadap pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat rasuah seperti yang pernah dilaksanakan ketika zaman bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar perlu diperkenalkan semula.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu antara bukti ketegasan ke atas mana-mana pegawai kanan atau anggota bawahan yang terlibat dengan kesalahan itu.

Beliau berkata, tindakan ‘pencen seringgit’ atau dalam tafsiran undang-undang yang sebenar adalah Penamatan Perkhidmatan Demi Kepentingan Awam iaitu di bawah Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 itu pernah dilaksanakan pada era 1980-an.

“Dalam konteks ketegasan menangani isu rasuah dalam PDRM, saya suka menarik perhatian kepada era 1980-an di mana KPN ketika itu, Tun Hanif Omar dan lain-lain pegawai kanannya yang mengambil tindakan ‘ditamatkan perkhidmatan’ ke atas pegawai-pegawai tinggi PDRM yang terlibat dalam rasuah.

“Tindakan tersebut tanpa mengira pangkat dan status mereka. Ia dikenali sebagai ‘pencen seringgit’.

“Selepas era tersebut, amat jarang atau tidak pernah kita dengar lagi pegawai tinggi PDRM dikenakan tindakan ‘pencen seringgit’ atau dibuang kerja.

“Yang sering diuar-uarkan adalah tindakan buang kerja ke atas anggota bawahan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman itu berkata, isu membabitkan rasuah dan salah laku pegawai dan anggotanya antara perkara yang diberi fokus utamanya.

Jelas beliau, tindakan tegas dan tanpa kompromi terhadap pegawai dan anggota polis Johor yang terlibat dengan rasuah dan salah laku lain dibuktikan apabila seramai 43 anggota dan seorang pegawai kanan telah dituduh di mahkamah sejak menerajui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mulai Mac tahun lalu hingga kini.

Dalam statistik sama katanya, seramai 46 lagi anggota telah dibuang kerja, manakala 57 orang lagi iaitu empat pegawai dan 53 anggota telah ditahan kerja dan seramai 12 orang anggota telah digantung tugas.

“Pendekatan saya dalam memastikan tindakan tegas ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam rasuah dan lain-lain salah laku dapat dilihat pada statistik tangkapan dan pertuduhan di mahkamah melibatkan pegawai dan anggota sejak saya mengambil alih sebagai Ketua Polis Johor,” katanya.-SH

Hapus skim pencen bakal mengundang ancaman kepada keselamatan nasional

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker