‘Hanya ada 2 pilihan: Letak jawatan atau pecat Azmin’

KOTA KINABALU – Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa gagal sebagai menteri walaupun sudah berkhidmat dalam dua kerajaan berbeza.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, Mohamed Azmin perlu meletak jawatan atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memecat beliau.

Menurutnya, hanya dua cara itu saja dapat dilakukan supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat memulihkan semula ekonomi negara ketika ini.

“Mohamed Azmin perlu digantikan dengan seseorang yang lebih mementingkan ekonomi negara berbanding agenda peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Razeef lagi, banyak negara di dunia yang menghadapi krisis Covid-19 jauh lebih teruk dari Malaysia namun berjaya menghadapi krisis ekonomi dengan baik malah tidak menghilangkan keyakinan para pelabur.

“Pelabur telah hilang keyakinan sejak PN merampas kuasa dan kegagalan demi kegagalan kerajaan mengurus ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan pelabur menarik ‘hand brake’ untuk melabur di negara ini.

“Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dilihat tidak mampu membawa pelaburan apatah lagi mencari inisiatif bagi membangunkan ekonomi negara.

Beliau mendakwa, sebulan selepas PKP dilaksanakan tahun lalu, Mohamed Azmin ditegur oleh seorang pemimpin UMNO apabila berlagak seperti ‘super ministry’ yang cuba membuat beberapa keputusan sepatutnya diuruskan oleh kementerian yang lain.

“Beberapa pemimpin UMNO juga menimbulkan kegusaran berkaitan kerjasama parti itu dengan Mohamed Azmin apabila beliau dilihat seolah-olah ‘terlebih sudu dari kuah’ dan hanya fokus kepada agenda peribadi beliau serta kroni dalang pengkhianatan. Sehingga hari ini beliau tidak diyakini oleh sekutu beliau dalam PN,” katanya.

Razeef berkata, situasi paling teruk dihadapi oleh Muhyiddin bagi mempertahankan kerajaan PN yang telah hilang majoriti dan berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, beliau dibantu oleh Mohamed Azmin yang sememangnya gagal.

“Ini menjadikan pentadbiran beliau dilihat semakin teruk bukan sahaja di mata rakyat malah di mata pelabur dari negara luar,” katanya.-SH

One thought on “‘Hanya ada 2 pilihan: Letak jawatan atau pecat Azmin’

  • January 31, 2021 at 13:03
    Permalink

    Orang2 PKR ni buta tuli ke, atau memang dungu. AMK nya sibuk kes Azmin yang kabur, tapi senyap sunyi dengan kes2 amalan seksual luar tabii presiiden sendiri yang melambak2. Kenapa tak suruh Anwar letak jawatan sebagai presiden parti atau ketua pembangkang ?

    Reply

Leave a Reply