Penjenayah buruan ‘Broken Tooth’ disyaki bersembunyi di Malaysia


Ketua kongsi gelap dari China, Wan Kuok Koi, dipercayai bersembunyi dan meneruskan operasinya di Malaysia, menurut laporan The Straits Times di Singapura.

Gangster berusia 65 tahun, yang lebih dikenali sebagai ‘Broken Tooth’, dipercayai dikehendaki oleh polis Malaysia sejak 16 Okt tahun lepas atas dakwaan gangsterisme dan penipuan berjumlah RM6 juta.

Wan sebelum ini menjalani hukuman penjara 14 tahun di Macau setelah disabitkan kesalahan along, pengubahan wang haram dan mengetuai kumpulan penjenayah sebelum dibebaskan pada 2012.

Sumber memberitahu akhbar berkenaan, satu laporan polis difailkan terhadap Wan pada Sept lepas setelah beliau gagal memindahkan saham Inix Technologies Holdings, sebuah syarikat tersenarai, kepada pihak ketiga seperti yang dipersetujui sebelum itu.

Wan dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif Inix pada Ogos, meletak jawatan beberapa bulan kemudian pada 2 Dis.

“Polis menyedari bahawa siasatan dilancarkan oleh pihak berkuasa di Australia dan AS berhubung kegiatan haram Wan, tetapi belum berjaya mengesan sebarang percubaan olehnya untuk mengembangkan kegiatan jenayahnya di sini (di Kuala Lumpur),” kata sumber.

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, Wan meninggalkan negara pada Dis 2019.

Namun sumber berkata, menurut perincian dalam laporan polis yang dibuat pada Sept, maklumat menunjukkan bahawa beliau masuk semula ke negara ini pada Jan 2020, walaupun tidak jelas bagaimana ia dilakukan.

Wang disenarai hitam oleh kerajaan AS sejurus selepas pengundurannya daripada Inix.

AS mendakwa Wan telah mengetuai kumpulan kongsi gelap 14K dan terlibat dalam pengedaran dadah, perjudian haram, pemerasan, pemerdagangan manusia dan kegiatan jenayah lain.

Bulan lalu, Reuters melaporkan Perbendaharaan AS mendakwa Wan memperluas kegiatannya ke seluruh Asia Tenggara susulan inisiatif infrastruktur “Belt and Road” China.

Difahamkan, pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat manipulasi harga saham yang berkaitan dengan Inix, susulan aktiviti luar biasa dalam stok syarikat ketika Wan dilantik sebagai ahli lembaga pengarahnya.

“Walaupun penyiasat percaya wujud beberapa unsur manipulasi, namun tiada bukti yang mengaitkan syarikat itu dengan kegiatan haram tersebut,” kata sumber itu.

FMT telah menghubungi Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk mendapatkan keterangan lanjut. FMT

Perompak bersenjatakan pistol larikan RM20,000 dari bank

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker