Motif Dong Zong, Jiao Zong perkukuh hubungan baik dengan China
Pertubuhan radikal Cina, Dong Zong dan Jiao Zong mengadakan perjumpaan secara dalam talian dengan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing bagi meningkatkan persefahaman serta kerjasama, selain membincangkan pelbagai topik berkaitan pendidikan.
Perjumpaan itu turut disertai wakil dari Universiti Merdeka Berhad dan Alumni Bekas Pelajar Malaysia di China (Liu Hua), lapor portal Kwongwah.com.my baru-baru ini.
Kedutaan China memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan Cina di negara ini sejak beberapa dekad.
Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berterima kasih kepada kedutaan China atas sokongan terhadap perkembangan pendidikan Cina di Malaysia, selain usahanya menggalakkan program pertukaran pendidikan serta ekonomi antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee turut mengucapkan terima kasih kepada kedutaan China kerana setiap tahun membantu penganjuran program latihan dan penyelidikan di negara berkenaan, membabitkan guru Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina serta pertubuhan guru besar.
Ini termasuk menyediakan pakar dan ahli akademik untuk program latihan di Malaysia bagi meningkatkan taraf profesion guru pendidikan Cina di Malaysia, katanya.
Pengerusi Universiti Merdeka, Chow Sing Yau pula berkata, melalui kerjasamanya dengan beberapa kolej vokasional di China sejak tiga tahun lalu, sebanyak 400 biasiswa diberikan kepada rakyat Malaysia untuk belajar di negara itu.
“Universiti Merdeka berharap China boleh menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran vokasional, selain meningkatkan hubungan baik antara dua negara melalui modal insan yang mempunyai bahasa dan budaya yang sama,” katanya.
Pada masa sama, Yujing memuji Malaysia kerana menjadi antara negara yang memelihara kebudayaan dana pendidikan Cina dengan sempurna selain Taiwan, Hong Kong dan Macau.
Menurutnya, sejak beberapa dekad, kerajaan Beijing telah bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan Cina di Malaysia dengan penganjuran program latihan guru serta pengajian di China.
Yujing berharap setiap pertubuhan terus mengamalkan perkongsian maklumat dan pengalaman, selain menetapkan tarikh perjumpaan bagi meningkatkan komunikasi serta hubungan berkaitan perkembangan pendidikan Cina.