Baru 16 tahun tapi sudah ‘tagih’ pembedahan plastik

Beijing: Dia baru berusia 16 tahun namun boleh dianggap antara individu paling muda yang ‘ketagihan’ pembedahan plastik di China.

Odditty Central melaporkan pada usia itu, Zhou Chuna mendakwa sudah melakukan lebih 100 prosedur invasif kosmetik sejak tiga tahun lalu untuk mencantikkan wajahnya.

Mempunyai 300,000 pengikut di platform Sina Weibo, dia membina kerjaya sebagai influencer (pempengaruh) menerusi pembedahan plastik dengan melakukan transformasi ekstrem daripada seorang gadis normal kepada individu berwajah seperti anak patung.

Dia bukanlah satu-satunya gadis yang beralih kepada perubahan kosmetik pada usia muda, tapi Zhou dianggap unik kerana jumlah prosedur dijalaninya adalah amat tinggi, tetapi dalam waktu singkat.

Walaupun mengakui mengalami kesan sampingan yang teruk kerana ketagihannya dalam pembedahan plastik seperti hilang ingatan dan parut kekal, dia tetap menganggapnya sebagai berbaloi.

Zhou sering berkongsi dengan pengikutnya bahawa di seorang yang hodoh sebelum ini sebelum dia melakukan pembedahan plastik.

Selain itu, dia menggambarkan matanya terlalu kecil, hidungnya terlalu besar dan selalu mengenangkan bagaimana rakan-rakan mengejeknya kerana penampilannya.

Mereka memberi gelaran memalukan, berlawak kasar dan memberikannya tugas berat ketika membersihkan kelas, sementara gadis cantik melakukan kerja mudah.

Disebabkan itu, dia sedar bahawa hidupnya tidak akan menjadi lebih baik kecuali dengan mengubah penampilannya.

Zhou turut mengakui sudah membelanjakan 4 juta yuan (kira-kira RM2.4 juta), kebanyakan daripadanya adalah sumbangan ibu bapanya yang mempunyai perniagaan.

Leave a Reply