Doktor wanita disiasat palsukan dokumen tuntutan insurans, Perkeso


Seorang doktor wanita sebuah hospital di Seberang Jaya, dekat sini, disiasat berhubung pemalsuan dokumen dan menggunakan cap jawatan milik rakan sekerjanya bagi membuat permohonan insurans dan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pihak lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat timbalan pengarah hospital berkenaan pada 20 Jan lepas, selepas seorang doktor lelaki mendapati cap rasmi jawatannya digunakan pihak lain.

“Doktor Jabatan Ortopedik itu memaklumkan beliau tidak pernah menandatangani atau mengesahkan sebarang surat milik beberapa individu dipercayai terlibat dalam kemalangan untuk memohon insurans dan tuntutan Perkeso, malah individu berkenaan bukan pesakit di hospital tersebut,” katanya kepada pemberita.

Rosni berkata, hasil siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan doktor wanita berusia 37 tahun itu terlibat dalam kegiatan memalsukan dokumen perubatan menggunakan cap rasmi jawatan rakan setugasnya (doktor lelaki).



Suspek, katanya, dipercayai memperoleh komisen untuk setiap tuntutan yang berjaya, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada ia dilakukan secara bersendirian atau membabitkan rangkaian sindiket.

Susulan itu, polis merampas beberapa dokumen dari rumah suspek di Kulim, Kedah baru-baru ini yang dipercayai digunakan untuk memalsukan dokumen bagi memohon tuntutan berkenaan.

Menurut Rosni, siasatan awal juga mendapati selain cap rasmi jawatan doktor lelaki itu, suspek turut menggunakan cap jawatan milik seorang lagi doktor wanita yang sebelum ini bertugas di hospital sama, namun berpindah ke sebuah hospital di Sibu, Sarawak sejak 2017.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan cap jawatan doktor wanita itu sejak tahun lepas bagi permohonan pihak lain dan setakat ini tiga dokumen palsu didapati menggunakan cap jawatan doktor wanita tersebut, manakala cap jawatan doktor lelaki itu membabitkan empat dokumen.



“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini, polis telah merekodkan keterangan doktor wanita (suspek) itu dan doktor lelaki serta timbalan pengarah hospital tersebut. Kami juga sedang mengesan beberapa individu yang memohon insurans dan tuntutan Perkeso menggunakan cap jawatan doktor berkenaan.”

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 468 dan 471 Kanun Keseksaan, iaitu pemalsuan dokumen serta menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan imbuhan. FMT

Palsukan kematian suami demi wang



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker