MySejahtera bakal daftar data vaksinasi


Kementerian Kesihatan mengumumkan aplikasi MySejahtera untuk telefon pintar akan dikemas kini akhir bulan ini dengan ciri terbaru bagi mendaftar individu layak menerima vaksin Covid-19.

Pegawai kanan pengurusan bencana di KKM, Dr Maheshwara Rao Appannan berkata, ciri itu akan membolehkan pegawai kesihatan memantau mereka yang menyertai program imunisasi nasional.

Bercakap kepada media pada sesi taklimat berkaitan darurat, Maheshwara berkata, penggunaan aplikasi itu juga akan membolehkan kerajaan memantau sebarang kesan buruk yang timbul selepas mereka divaksin.

Katanya, jumlah pengguna aplikasi MySejahtera adalah tinggi dan kementerian yakin dapat menyimpan data “seramai mungkin individu” bagi mencapai sasaran vaksinasi 70% hingga 80% populasi.

Beliau menggesa semua rakyat di negara ini memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengaktifkan “push notifications” sekarang bagi membolehkan KKM menghubungi dan memberikan kemas kini terbaru wabak ini kepada seramai mungkin.

Maheshwara berkata, semua data peribadi yang dikumpulkan menerusi aplikasi itu mematuhi undang-undang semasa.

Timbalan Pengarah Kesihatan Primer, Dr Nazrila Hairizan Nasir berkata, pengguna perlu menggunakan fungsi lapor diri dalam MySejahtera untuk memberitahu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah dan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 mengenai status mereka.

Dengan berbuat demikian, mereka yang disahkan positif Covid-19 dapat segera menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu dihubungi pekerja kesihatan bagi penilaian kesihatan selanjutnya.

CAC akan menghubungi pusat kawalan untuk memasukkan pesakit ke pusat kuarantin Covid-19 dan pusat rawatan berisiko rendah atau hospital, bergantung kepada keadaan mereka. Kes berisiko tinggi akan diberi keutamaan.

Mereka yang menjalani kuarantin di rumah akan dipantau melalui MySejahtera untuk penilaian kesihatan harian sehingga 10 hari. FMT

Penggunaan aplikasi MySejahtera di premis akan diwartakan WAJIIB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker