Penggunaan aplikasi MySejahtera di premis akan diwartakan WAJIIB

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis mendaftar aplikasi MySejahtera melalui laman sesawangnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif Covid-19.

Noor Hisham berkata penggunaan aplikasi tersebut juga akan dimasukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Dalam kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Sivagangga, restoran nasi kandar didapati tidak menggunakan aplikasi Mysejahtera, pendaftaran pengunjung secara manual atau mengambil suhu badan pelanggan mereka.



“Sekarang ini kita ada masalah, cabaran kita untuk mengesan kontak rapat.

“Sebab yang pertama, tidak ada penggunaan Mysejahtera ataupun aplikasi lain, yang kedua tiada rekod.

“Kedai-kedai sepatutnya ada rekod pelanggan yang keluar masuk kedai tersebut dengan nombor telefon dan sebagainya,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dia berkata sekiranya tiada rekod, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPBD) akan dilaksanakan di kawasan tersebut, selain tindakan kesihatan awam dalam mencegah dan mengawal penyakit tersebut.



Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap kes indeks Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga di Kedah.

Dia mengulas sesetengah pihak yang didakwa membuat ancaman, termasuk secara fizikal terhadap individu daripada kluster terbabit.

Menurut Noor Hisham, individu yang menyertai kegiatan Hari Raya Aidiladha sebelum mendedahkan kaitannya dengan kluster tersebut telah pun didenda.

“Jangan kita mengambil undang-undang sendiri di tangan kita iaitu melanggar undang-undang. Biarkan pihak berkuasa jalankan Penguatkuasaan di bawah Akta 342 dan akta- akta yang lain,” katanya.



Tahu jadi kontak rapat lepas hari raya

Dia berkata, individu itu merupakan pelanggan di restoran yang dimiliki kes indeks kluster Sivagangga, yang kembali dari India pada 13 Julai tetapi tidak mematuhi arahan kuarantin di rumah.

Pelanggan itu melakukan ujian Covid-19 di sebuah klinik swasta pada 27 Julai, tetapi ia hanyalah ujian antibodi kit ujian pantas (RTK) yang berbeza dengan ujian RT-PCR (Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction), tidak dapat mengesan Covid-19 di peringkat awal jangkitan. Keputusan ujiannya ialah negatif.

“Pada 31 Julai (Hari Raya Aidiladha), dia mula mengalami gejala demam dan batuk tetapi tidak hubungi pusat kesihatan daerah atau klinik kesihatan terdekat untuk rawatan.



“Sehari kemudian, selepas terlibat dalam kegiatan Hari Raya, dia diberitahu bahawa dia adalah kontak rapat dengan kes indeks.

“Selepas itu, ujian saringan RT-PCR dilakukan dan dia didapati positif Covid-19. Dia positif, kita kena masukkan ke hospital dan diasingkan. Saya syorkan untuk ambil tindakan undang-undang dalam peraturan Akta 342,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata ketidakpatuhan terhadap Perintah Pemerhatian di Dalam Rumah (HSO) oleh kes indeks dalam kluster juga mengakibatkan penularan Covid-19 sehingga mengakibatkan sejumlah 21 kes positif hasil ujian saringan hari ini yang dilaksanakan terhadap 425 orang manakala 362 kes negatif dan baki 42 kes sedang menunggu keputusan.

Noor Hisham juga mengakui peningkatan kes mendadak di Hong Kong, Jepun dan Australia memerlukan Malaysia lebih berhati-hati dengan memperketatkan kawalan sempadan negara walaupun rundingan membuka pintu negara antara negara zon hijau sudah dimulakan.



Katanya, pelaksanaan perkara itu bergantung kepada situasi semasa pandemik di negara zon hijau.

“Untuk memperketatkan dan meneruskan langkah positif sekarang ini di dalam negara kita memerlukan kerjasama setiap individu dalam negara ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard iaitu membudayakan pemakaian mask dan penjarakan sosial,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker