Tak apa masa saya dah sampai, kata pesakit Covid-19 pada doktor ICU

Tepat setahun lalu, Malaysia mencatat kes pertama Covid-19 dan pada 17 Mac negara dikejutkan apabila wabak itu meragut korban pertama dengan penyakit pernafasan.

Pada masa ini, negara secara konsisten mencatatkan jangkitan empat angka setiap hari, dengan angka kematian keseluruhan sebanyak 689 korban setakat 25 Januari.

Bagi doktor seperti Dr Engku Naim Nasir, angka-angka ini lebih daripada sekadar statistik kerana ia mengingatkannya kepada individu yang telah sembuh dan orang-orang yang telah meninggal dunia ketika bawah jagaannya di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Engku, salah seorang doktor terawal yang ditugaskan di ICU hospital ini sejak wabak itu melanda.

Engku berkongsi beberapa saat yang paling tidak dapat dilupakan ketika bersama pesakit dalam wawancara dengan KiniTV baru-baru ini.

 

Antaranya, pengalaman merawat seorang pesakit warga emas berusia 70 tahun.

“Apabila dia datang mendapatkan rawatan keadaannya sudah memburuk.

“Saya katakan kepada pesakit itu: Pak cik, saya nak tolong pak cik, nak tolong selamatkan pak cik.

“Tetapi pesakit itu menjawab: Tak apa, masa saya sudah sampai, saya memang sudah patut mati,” katanya.

Pesakit itu kemudian meninggal dunia.

Kata Engku, memerhatikan pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 merupakan detik sukar bagi dirinya kerana mereka tidak ditemani oleh ahli keluarga atau rakan mereka ketika melalui saat-saat akhir.

Dengan jumlah kes yang berada pada tahap membimbangkan, dia berkata sistem penjagaan kesihatan mungkin tidak akan dapat menampung pesakit jika trend semasa berterusan.

“Jika kes Covid-19 terus meningka saya bimbang sistem kesihatan kita tidak mampu menanganinya lagi.

“Saya bimbang, jika kita mungkin akan menjadi seperti Itali,” katanya.

Pakar bius itu menjelaskan keadaan di negara Eropah tersebut apabila pesakit terbiar meninggal dunia tanpa mendapat rawatan kerana kekurangan doktor dan sistem kesihatan sudah berada pada tahap genting.

Dari Disember 2020 ke Januari 2021, pesakit di ICU meningkat dua kali ganda daripada sekitar 110 kes menjadi lebih daripada 250 kes.

Jumlah kes aktif juga meningkat daripada sekitar 18,000 menjadi 43,000 dalam jangka masa yang sama.

Engku kini merupakan pensyarah UiTM dalam bidang anestesia dan rawatan intensif.

Dia juga terlibat dalam penyediaan Hospital UiTM untuk menguruskan pesakit Covid-19.

Leave a Reply