Kerajaan tolong atasi segera kenaikan harga makanan – Tok Mat

 

Bimbang dengan situasi ekonomi rakyat yang semakin meruncing, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan meminta kerajaan mengatasi masalah harga makanan yang mula membebankan orang ramai.

Mohamad berkata, meskipun bekalan keperluan cukup untuk menampung keperluan ramai sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), tetapi apa yang membimbangkan trend kenaikan harga barangan berterusan meningkat.

“Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar memasti kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

“Begitu ramai sekali rakyat Malaysia telah kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19.

 

“Kuasa beli segelintir rakyat berada pada tahap yang genting. Tanpa intervensi kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin, tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai kecukupan makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Selain menggesa kerajaan memantau harga makanan dan bekalan keperluan asas, katanya kerajaan juga perlu menggalakkan pertanian bandar.

“Gunakan tanah lapang di persekitaran rumah untuk menanam sayuran termasuk menanamnya dalam pasu.

“Penanaman sayur-sayuran di rumah mampu mengurangkan kos sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan sayuran segar tanpa kebimbangan penyebaran Covid-19 di pasaraya,” katanya.

Pemimpin Umno itu juga mencadangkan supaya kerajaan mencontohi pemberian voucher makanan dan barangan runcit seperti yang dilakukan oleh negara maju untuk mereka yang terjejas dari segi ekonomi.

“Negara maju telah lama melaksanakan intervensi food stamp dan voucher barangan perlu.

Voucher sedemikian bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang paling terhimpit, ia juga dapat menjana pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit.

“Bantuan tersebut secara langsung juga akan meningkatkan pengguna agregat dan membantu peniaga kecil, pengusaha pasar raya serta restoran,” katanya.

Leave a Reply