Atasi ‘dasar lemah’ sebelum laksana perintah sekatan baharu, kata Ahli Parlimen


Beberapa “dasar lemah” berkenaan krisis Covid-19 mesti disemak semula sebelum kerajaan mempertimbangkan kemungkinan perintah sekatan baharu, kata seorang Ahli Parlimen dan bekas timbalan menteri kesihatan.

Kuarantin di rumah dan sistem pengesanan kontak harus diperbaiki, kata Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, yang berkhidmat dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, kuarantin di rumah untuk kes ringan harus dihentikan kerana ada kemungkinan 70% pesakit boleh menjangkiti penghuni lain di dalam rumah.

“Angka akan terus meningkat dan tidak akan turun kerana lebih ramai yang akan dijangkiti,” tambahnya.

“Lebih baik letakkan pesakit di lokasi berpusat selama tujuh hingga 10 hari di bawah pemantauan petugas.”

Jumlah kes baharu mungkin akan meningkat lagi walaupun setelah sekatan baharu dikenakan kerana sistem pengesanan kontak sedia ada lemah, kata Lee.

“Sehingga kita dapat kesan dan uji pesakit dalam tempoh 48 jam, jumlah (kes) akan terus meningkat lagi setelah empat atau enam minggu, dan lebih banyak sekatan diperlukan,” katanya.

Lee juga berkata, kerajaan harus berhenti menyalahkan rakyat atas penularan Covid-19, sekali gus mempersoalkan sama ada menteri mengikut peraturan dan prosedur mencegah Covid-19.

“Tanya (Menteri Kanan keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sama ada menteri benar-benar mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya.

Cakap-cakap mengenai sekatan baharu di seluruh negara di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) timbul semalam setelah terdedahnya surat yang menyatakan “shutdown” atau perintah sekatan ketat akan diumumkan selepas 4 Feb depan sekiranya kadar jangkitan Covid-19 tidak berkurang ketika itu.

Surat itu dikirim kepada ahli Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham) untuk memberitahu tentang perbincangan yang diadakan dengan pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Eurocham bagaimanapun menafikan desas-desus mengenai sekatan baharu di seluruh negara itu, sebaliknya menggesa komuniti perniagaan supaya mengambil langkah bagi memastikan sekatan baharu tidak dikenakan.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan berharap kerajaan tidak perlu mengambil jalan mengenakan sekatan baharu.

Katanya kepada FMT, penting bagi syarikat untuk mematuhi protokol kesihatan kerana pekerja meluangkan sembilan hingga 10 jam sehari di tempat kerja, tetapi tidak diketahui sama ada pekerja mematuhi peraturan di luar waktu bekerja.

“Mereka (pekerja) perlu bertanggungjawab ketika berada di luar tempat kerja. Mereka harus menghindari tempat yang sesak bagi mengurangkan risiko,” katanya.

Beliau menggesa Putrajaya supaya berbincang dengan komuniti perniagaan sebelum membuat keputusan mengenai sekatan, yang disifatkannya sebagai “sangat serius”.

Kerajaan harus mendidik syarikat dan pekerja agar mereka lebih memahami virus tersebut dan langkah untuk mencegah penularannya.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menyuarakan kegusaran berhubung peningkatan kes Covid-19 dalam sektor pembuatan dan pembinaan.

Ahli ekonomi Prof Nazari Ismail berkata, sebarang sekatan ke atas kegiatan ekonomi akan memberi kesan besar ke atas ekonomi.

“Lebih banyak perniagaan akan ditutup dan banyak keluarga akan menderita, terutamanya jika bank tidak melanjutkan moratorium,” katanya kepada FMT.

Namun katanya, kerajaan tidak ada pilihan kerana tanpa perintah sekatan, hospital mungkin tidak mampu menangani peningkatan jumlah kes.

“Contoh klasik peribahasa ‘diluah mati emak, ditelan mati bapak’,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, bank harus melanjutkan moratorium pinjaman enam bulan tanpa “terlalu memikirkan kesan negatif ke atas keuntungan mereka”. FMT

Laksana PKP biar tegas, kata Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker