Kad kredit Islamik hanya untuk produk patuh syariah


Tidak semua kad kredit sama penggunaannya.

Maybank menjelaskan kad kredit Islamik tidak boleh digunakan untuk membeli produk yang tidak mematuhi syariah seperti minuman keras.

Seorang jurucakap Maybank memberitahu FMT, pengguna perlu mengikut garis panduan ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai perkara itu.

Katanya, syarat penggunaan kad kredit Islamik sudah dinyatakan dengan jelas semasa dikeluarkan kepada pengguna.

Sehubungan itu, bank mencadangkan agar mereka yang mahu membeli barang seperti minuman keras untuk menggunakan kad kredit konvensional yang boleh digunakan untuk apa saja jenis pembelian.

Garis panduan BNM mengenai kad kredit Islamik, yang dikeluarkan pada Julai 2019, menyatakan bank mesti memastikan kad kredit Islamik tidak digunakan untuk transaksi yang tidak mematuhi syariah.

Selain pembelian minuman keras, kad kredit Islamik juga tidak boleh digunakan untuk khidmat janji temu, loteri dan dalam kasino.

Dalam satu catatan yang tular di Facebook semalam, seorang pemegang kad kredit Maybank Islamic Ikhwan Visa Infinite Card-i menyatakan kekecewaannya apabila dia tidak dapat membeli minuman keras di sebuah kedai bebas cukai di KLIA.

“Saya ingatkan kad saya rosak. Bila saya telefon pusat kad, mereka hanya tanya saya satu perkara – sama ada saya cuba buat bayaran untuk membeli minuman keras,” katanya.

“Saya kata ‘ya’ dan diberitahu Maybank adalah bank patuh syariah, jadi saya tak boleh beli minuman keras dengan kad kredit saya. Saya terkejut.” FMT

Leave a Reply