Polis pertikai bukti rakaman CCTV pemilik kafe didenda tak pakai pelitup muka

PETALING JAYA: Polis Johor menolak dakwaan tiada orang lain ketika seorang pemilik kafe baru-baru didenda kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak.

Polis berkata, wanita itu melanggar peraturan sekatan pergerakan dan mempertikaikan rakaman video yang ditunjukannya sebagai bukti.

Nur Izzati Aqilah Lokman Hakim mempunyai satu klip daripada rakaman CCTV ketika beliau didenda.

Sumber polis Johor memberitahu FMT, sudut rakaman CCTV itu hanya menunjukkan Nur Izzati, tetapi sudut lain menunjukkan ada orang lain berada berhampiran yang memakai pelitup muka.

Sumber itu turut berkongsi sekeping gambar dengan FMT menunjukkan seorang wanita meninggalkan sebuah kedai ketika Nur Izzati yang tidak memakai pelitup muka mengambil beg dari keretanya.

“Ada orang lain di sekitarnya yang memakai pelitup muka. Kenapa beliau tidak memakai pelitup muka?”

Katanya, peraturan kawalan pergerakan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara jelas menyatakan pemakaian pelitup muka wajib ketika berada di tempat awam di luar bangunan dengan kehadiran orang lain.

Semalam, polis Johor menafikan Nur Izzati didenda kerana tidak memakai pelitup muka walaupun tidak berada di tempat awam sesak.

Ketuanya, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ada orang keluar masuk di premis berhampiran kafe itu ketika kejadian dan ada seorang pekerja kafe memakai pelitup muka.

Sekeping gambar dari polis Johor menunjukkan seorang pelanggan memakai pelitup muka di luar sebuah kedai, dengan Nur Izzati Aqilah di keretanya di latar depan. (Gambar diberikan sumber) 

Tetapi, Nur Izzati mempertikaikan kenyataan itu dan berkata, rakaman CCTV menunjukkan tiada orang di sekelilingnya selain anaknya dan empat anggota polis.

Beliau mengaku bersalah kerana tidak memakai pelitup muka ketika keluar dari kereta, tetapi mendakwa dia memakainya selepas disoal siasat polis.

“Saya tak kisah nak bayar RM1,000 (denda), tapi saya cuma nak semua orang tahu yang saya tak menipu berkenaan kenyataan yang saya tidak berada di kawasan yang sesak,” tulisnya di Facebook.

Katanya, beliau cuba mendapatkan satu lagi rakaman CCTV dari kedai yang dikunjunginya sebelum memasuki kafe sebagai bukti beliau memakai pelitup muka di kawasan sesak.

Beliau berkata, satu-satunya pekerja di kafenya ketika itu tinggal bersamanya di rumah sama.

Di Twitter, Nur Izzati mendakwa beliau memuat naik rakaman itu sebagai respons terhadap catatan di Facebook polis Johor, tetapi mendakwa komen itu mungkin sudah disembunyikan.

“Aku redha, tunggu mahkamah maha Esa sajalah,” katanya.

Kenyataan Polis Ke Laut, Wanita didenda tak pakai pelitup muka tunjuk bukti CCTV

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker