Gajah mati ditembak, kulit disiat

Kota Kinabalu: Seekor gajah Pigmy Borneo ditemukan sudah mereput dengan kesan tembakan dan tetakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Imbak, Tongod, di sini, kelmarin.

Dalam penemuan 8 pagi itu, bangkai gajah disyaki berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu ditemukan dengan beberapa anggota badannya terpisah antara satu sama yang lain.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Agustine Tuuga berkata, gajah berkenaan dipercayai sudah mati sekurang-kurangnya empat atau lima hari lalu.

Katanya, hasil bedah siasat, pihaknya percaya gajah berkenaan terkena tujuh tembakan dengan empat daripadanya di kepala.



“Sebahagian besar kulit gajah berkenaan juga disiat dan beberapa anggota badannya seperti kaki dan telinga ditemui kira-kira enam hingga 32 meter dari badannya.

“Beberapa anggota badan gajah, termasuk kepala dan gading ditemukan di lokasi kejadian, kecuali belalai,” katanya di sini, hari ini.

Agustine berkata, sukar untuk mengenal pasti motif utama pembunuhan haiwan dilindungi berkenaan namun siasatan akan diteruskan.

Katanya, ia adalah penemuan bangkai gajah ketiga setakat tahun ini dan ia adalah kali pertama kulit haiwan berkenaan disiat.



“Kita akan meneruskan siasatan lanjut dan setakat ini tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan,” katanya.

Difahamkan, satu laporan polis sudah dibuat oleh pengurus di ladang terbabit.-HM

[VIDEO] Perhilitan Jelaskan Kejadian Gajah Masuk Sekolah Bukan Kali Pertama Berlaku



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker