Dimaki, dijatuhkan lepas siasatan SPRM tapi Shuib enggan balas

Shuib Sepahtu mendakwa ada individu pergi ke salah sebuah kedai minumannya hanya untuk mengeluarkan kata-kata kejian, susulan dia dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes Macau Scam.

Pelawak dan penyampai radio itu berkata, ketika itu kes Macau Scam mendapat perhatian seluruh negara dan ia turut menjejaskan perniagaan Bubble Bee yang diusahakannya.

“Kes SPRM bukan kes kecil, ia jenayah kolar putih. Umum juga mula mengenali Bubble Bee daripada kes ni. Disebabkan hal ini, memang dari segi jualan kami ada penurunan.

“Bukan itu saja, ada orang datang hanya untuk maki dan suruh tutup kedai (dan kata) ‘apa kau buat makan duit orang dengan Macau Scam’,” katanya pada sidang media dalam talian sempena hari terakhirnya di Hot FM, di Puchong malam tadi.

Dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM berhubung kegiatan pengubahan wang haram sindiket Macau Scam mungkin menjadi antara dugaan paling mencabar yang dihadapi Shuib pada tahun 2020.

Meskipun peguamnya kemudian mengesahkan tiada sebarang permohonan reman dikemukakan terhadap Shuib, pelawak kelahiran Johor Bahru itu terus dikritik netizen berhubung perkara tersebut.

Walaupun teruk dikecam dan cuba dijatuhkan, Shuib, 36, sebaliknya merasakan dia tidak perlu mengambil tindakan balas.

 

Jauh daripada membalas dendam, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad juga mahu menganggap pihak yang menyerangnya di media sosial sekadar “tersilap taip”.

“Peguam saya ada memberi cadangan selepas selesai saya dipanggil SRPM. Dia boleh bantu untuk selesaikan mana-mana isu daripada pihak yang cuba jatuhkan saya.

“Tapi saya beritahu tak perlu berbuat demikian kerana bagi saya mereka cuma tersalah taip. Esok lusa, mereka menyesallah.

“Kita kena maafkan orang. Tiada tindakan buat mereka,” katanya lagi.

Mengulas berhubung pengumumannya untuk berundur daripada stesen Hot FM semalam, Shuib berkata walaupun berat hati, keputusan itu perlu diambil untuk membolehkannya berehat seketika daripada dunia seni.

Katanya, hal itu termasuk pembabitannya dalam kumpulan Sepahtu.

“Ia bukan disebabkan saya terbabit kontroversi sepanjang tahun lalu. Tapi sebab saya nak beri tumpuan pada perniagaan yang kini semakin berkembang.

“Saya nak berehat sebentar termasuk komitmen dalam Sepahtu sebab kalau dalam perniagaan kesilapan terbesar adalah terlalu banyak perkara nak dibuat secara serentak,” katanya yang akan bersiaran dalam segmen Geng Pagi Hot buat kali terakhir Jumaat ini.

Leave a Reply