Giliran Bekas MB Terengganu, Ahmad Said dan Isteri Positif Covid-19

Bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said dan isterinya Norliza Mahmud disahkan positif Covid-19 hari ini.

Pengerusi Umno terengganu yang juga ahli Parlimen Kijal itu berkata, dia dan isterinya kini menjalani rawatan di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu

“Beberapa hari lepas, saya rasa letih ketika membaja pokok di kebun. Kemudian rasa lenguh dan saya hubungi (petugas) klinik swasta ke rumah.

“Saya dan isteri jalani ujian dan tiga hari kemudian (hari ini) keputusan tunjukkan (kami) positif,”

Ahmad Said berkata tidak pasti bagaimana dia dijangkiti virus tersebut.

Dalam pada itu, Umno Kemaman turut memaklumkan berkenaan perkembangan itu menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

“Datuk Seri dan isteri telah menerima rawatan di hospital. Marilah kita bersama-sama doakan kesihatan Datuk Seri dan isteri akan kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Setakat ini sejumlah ahli politik telah disahkan dijangkiti virus itu.

Terbaru, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz disahkan positif hari ini. Sebelum itu Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut disahkan positif.

Setakat ini, seramai lima menteri dan timbalan menteri telah disahkan positif iaitu Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker