Pemandu pelancong, bas persiaran, sekolah, teksi, e-hailing dapat ‘one-off’ RM500
Kerajaan mengumumkan pemberian “one-off” RM500 kepada pemandu pengangkutan awam meliputi pemandu pelancong, pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing yang terkesan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu berjumlah RM66 juta menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
“Ia akan memanfaatkan 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing,” katanya pada pengumuman khas PERMAI berjumlah RM15 bilion secara keseluruhan yang disiarkan secara langsung.
Beliau turut mengumumkan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun, turut dipendekkan tempoh berkenaan kepada hanya lima tahun.
“Kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun.
“Sukacita dimaklumkan syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun mulai 1 Jan hingga 31 Dis 2021,” katanya.
Skim rehabilitasi sewa beli bas dan teksi
Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan skim rehabilitasi sewa beli bas dan teksi, yang mana pengusaha dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan lebih rendah.
“Syarikat jaminan pinjaman perniagaan akan memperkenalkan skim ini. Bawah skim ini, 50% jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
“Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan lebih rendah. Jaminan sebanyak RM1 bilion akan disediakan untuk tujuan ini,”katanya. FMT
Tak dapat bantuan, pengusaha bas persiaran lapor polis terhadap 5 kementerian